Skip to main content

Dunia

Wanita ditembak ejen Polis Sempadan Amerika Syarikat dalam tunjuk perasaan di Chicago

Beberapa ejen Peronda Sempadan Amerika Syarikat menembak dan mencederakan seorang wanita bersenjata di Chicago pada Sabtu (4 Okt) sedang para penunjuk perasaan bertembung dengan kakitangan imigresen persekutuan di barat daya bandar itu, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ditembak ejen Polis Sempadan Amerika Syarikat dalam tunjuk perasaan di Chicago

Pegawai penguat kuasa keselamatan bersama anggota Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) serta pegawai persekutuan di kawasan kejiranan Little Village, Chicago, Illinois, Amerika Syarikat, pada 4 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Jim Vondruska)

Diterbitkan : 05 Oct 2025 09:36AM Dikemas Kini : 05 Oct 2025 05:29PM
CHICAGO: Beberapa ejen Polis Sempadan Amerika Syarikat menembak dan mencederakan seorang wanita bersenjata di Chicago pada Sabtu (4 Okt) sedang para penunjuk perasaan bertembung dengan kakitangan imigresen persekutuan di barat daya bandar itu, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).

Kejadian itu berlaku di kawasan kejiranan Brighton Park, di mana berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah apa yang disifatkan sebagai kehadiran pihak berkuasa persekutuan yang berlebihan.

Menurut seorang jurucakap DHS, wanita itu, seorang warga Amerika Syarikat yang tidak dikenal pasti, adalah sebahagian daripada kumpulan yang merempuh kenderaan yang digunakan oleh pegawai Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).

Dia kemudian memandu sendiri ke hospital, menurut jabatan itu sambil menambah, tiada pegawai penguatkuasaan undang-undang yang cedera parah dalam kejadian itu.

Ejen-ejen ICE melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah apabila ketegangan meningkat antara para pegawai dan penunjuk perasaan.

DHS KERAH PASUKAN TAMBAHAN

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Kristi Noem berkata beliau mengerahkan “unit operasi khas” untuk mengawal keadaan di Chicago.

“Saya mengarahkan pasukan taktikal DHS untuk memulihkan ketenteraman dan memastikan keselamatan pegawai persekutuan,” tulis Cik Noem di platform X.

Gabenor Illinois JB Pritzker, seorang anggota Parti Democrat, berkata pada Sabtu bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump menuntut supaya beliau mengerahkan Pasukan Pengawal Negara dari negerinya untuk menyokong pasukan persekutuan.

“Ia benar-benar keterlaluan dan bercanggahan dengan nilai Amerika untuk memaksa seorang gabenor untuk mengerahkan tentera dalam sempadan negeri sendiri dan tanpa kerelaan kami,” kata Encik Pritzker dalam satu kenyataan.

BANTAHAN SEMAKIN MENINGKAT

Chicago menyaksikan rentetan tunjuk perasaan berlaku beberapa minggu kebelakangan ini terhadap apa yang penunjuk perasaan sifatkan sebagai "penggunaan kuasa tentera" dalam penguatkuasaan imigresen oleh pentadbiran Encik Trump.

Pada Jumaat, polis bergelut dengan ratusan penunjuk perasaan di luar pusat tahanan ICE di pinggir bandar Broadview.

Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan para penunjuk perasaan cuba menghalang kenderaan ICE daripada memasuki kawasan tersebut sebelum dileraikan oleh ejen bersenjata berat menggunakan kekerasan fizikal, gas pemedih mata dan peluru getah.

“Kita sedang menyaksikan suasana seakan-akan di medan perang di jalanan Amerika,” kata Miguel Torres, salah seorang penganjur tunjuk perasaan tersebut. “Rakyat bangkit kerana masyarakat mereka sedang dicerobohi.”

Bantahan serupa turut tercetus di bandar-bandar lain yang diterajui Parti Democrat, termasuk New York, Los Angeles, Washington D.C., dan Portland, Oregon, sementara pegawai persekutuan memperluas operasi menyasarkan pendatang tanpa dokumen.

Pegawai persekutuan belum mengeluarkan sebarang maklumat terkini mengenai keadaan wanita yang cedera itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita