Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita dipenjara, nekad potong tangan sendiri demi pampasan insurans

Sebuah mahkamah di Slovenia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita berusia 22 tahun setelah dia didapati bersalah memotong tangannya untuk menuntut wang insurans.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara, nekad potong tangan sendiri demi pampasan insurans

(Gambar hiasan: Reuters)

Diterbitkan : 12 Sep 2020 10:36PM Dikemas Kini : 12 Sep 2020 10:43PM

LJUBLJANA: Sebuah mahkamah di Slovenia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita berusia 22 tahun setelah dia didapati bersalah memotong tangannya untuk menuntut wang insurans.

Pasangan wanita itu yang berusia 30 tahun, yang dituduh menghasutnya untuk berbuat demikian, dikenakan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Daerah Ljubljana pada Jumaat (11 Sep), menurut laporan agensi berita negara itu STA.

Tidak jelas jika pasangan itu yang kedua-duanya mengaku tidak bersalah, akan membuat rayuan terhadap sabitan dan hukumannya.

Wanita itu, Julija Adlesic, ditahan pada awal tahun lalu kerana didakwa sengaja memotong pergelangan tangannya menggunakan gergaji bulat demi menuntut wang insurans sebanyak hampir AS$470,000 (S$642,900).

Wanita itu dipercayai mendapat bantuan tiga lagi orang pada awal tahun ini untuk melakukan perbuatan tersebut, tidak lama selepas kumpulan itu menandatangani kontrak insurans hayat dan kecederaan dengan lima syarikat insurans yang berbeza.

Tertuduh berhasrat mendapat sekitar €380,000 (S$615,800) dalam wang pampasan dan bayaran bulanan sepanjang hayat sekitar €3,000 (S$4,862), menurut polis.

Kumpulan itu sengaja meninggalkan pergelangan tangannya di rumah agar pihak hospital tidak dapat menyambungnya kembali.

Ini kerana mereka berharap mendapat tiga kali ganda jumlah pampasan kerana hilang upaya secara kekal setelah tertuduh mendakwa ia adalah satu kemalangan, menurut polis.

Namun pihak berkuasa berjaya menemui tangannya dan doktor di sebuah hospital di ibu kota Ljubljana dapat mencantumkannya semula.

Gaji purata bulanan di Slovenia adalah sekitar €1,000 (S$1,619).

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan