Wanita diberkas kerana tikam 4 lelaki di pusat bandar London
Para pegawai polis berkawal berhampiran Shaftesbury Theatre di Covent Garden, pusat bandar London, pada 5 Ogos 2026. (Gambar: AFP/Henry Nicholls)
Polis Metropolitan London menyatakan wanita berusia 47 tahun itu diberkas kerana disyaki memiliki senjata berbahaya dan melakukan serangan.
Kejadian berlaku sejurus sebelum 12.30 tengah hari waktu tempatan (7.30 malam waktu Singapura).
Polis turut merampas sebilah gunting di tempat kejadian.
Empat mangsa berusia 34, 39, 42 dan 52 tahun dibawa ke hospital.
Dua daripada mereka masih dirawat tetapi kecederaan mereka dipercayai tidak mengancam nyawa atau menyebabkan kesan jangka panjang.
Dua lagi mangsa dibenarkan keluar dari hospital beberapa jam kemudian.
INSIDEN TERPENCIL
Ketua Superintenden Polis Metropolitan Jason Stewart berkata siasatan masih di peringkat awal.
"Kami ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa pada masa ini, kami percaya ia merupakan insiden terpencil yang berkaitan dengan kesihatan mental," katanya.
Beberapa saksi yang bekerja di sebuah restoran berdekatan berkata polis menggunakan pistol renjatan untuk menahan wanita tersebut.
Seorang pelayan restoran dikenali sebagai Ahmad berkata beliau melihat polis mengejar wanita yang memegang sebilah pisau.
Polis bagaimanapun tidak mengesahkan penggunaan pistol renjatan dalam kenyataannya.
Menurut para saksi, wanita berkenaan adalah seorang gelandangan yang sering berada di kawasan tersebut.
Jalan di Covent Garden tempat kejadian berlaku ditutup selama beberapa jam semasa siasatan dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.