Wanita di bawah pengaruh dadah ugut bunuh ibu, bakar rumah
Polis menahan seorang penagih dadah wanita kerana mengugut mahu membunuh dan membakar rumah ibunya dalam kejadian di kediaman mereka dekat Permatang Buloh pada Ahad malam (14 Jul).

Gambar hiasan.
KEPALA BATAS: Polis menahan seorang penagih dadah wanita kerana mengugut mahu membunuh dan membakar rumah ibunya dalam kejadian di kediaman mereka dekat Permatang Buloh pada Ahad malam (14 Jul).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor hari ini berkata wanita berusia 31 tahun yang baru kematian suami itu bertindak mengacukan pisau ke arah ibunya dan mengugut untuk membunuh warga emas berusia 71 tahun berkenaan pada kira-kira pukul 11.20 malam.
"Wanita yang tinggal di rumah ibunya bersama tiga orang anaknya - berusia lima hingga sembilan tahun - itu dipercayai mengamuk dan bertindak sedemikian termasuk mahu membakar rumah tersebut kerana berada di bawah pengaruh dadah serta mengalami tekanan perasaan," jelas Encik Noorzainy.
Beliau berkata abang kepada wanita itu, yang tinggal berjiran dan menyedari kejadian tersebut, kemudian menghubungi polis kerana bimbang akan keselamatan ibu mereka serta tiga anak suspek yang berada di rumah berkenaan semasa kejadian tersebut berlaku.
Encik Noorzainy menambah wanita yang tidak bekerja itu sebelum ini sering meracau, ketawa, senyum dan bercakap sendirian kerana di bawah pengaruh dadah. Bahkan, kejadian terbaru itu bukanlah pertama kali berlaku kerana suspek sering mengamuk jika dalam keadaan khayal.
Ekoran laporan polis yang dibuat abang suspek, Encik Noorzainy berkata polis menyerbu rumah itu dan berlaku pergelutan sebelum berjaya menahan wanita berkenaan pada sekitar 1.00 pagi tadi.
Beliau berkata susuli penahan suspek, pihaknya turut merampas sebilah pisau berhulu besi dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. Ujian saringan air kencing terhadap wanita itu bagaimanapun tidak dapat dijalankan kerana dia enggan memberi kerjasama serta masih dalam pengaruh dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.