Wanita DAP gesa kerajaan Malaysia dedah minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Najib
Wanita DAP menggesa kerajaan Malaysia mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.
Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching. (Gambar fail: BERNAMA)
- Wanita DAP menerusi Teo Nie Ching menggesa kerajaan Malaysia mendedahkan minit rasmi Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat Najib Razak.
- Gesaan itu dibuat bagi memastikan ketelusan, kerana keputusan besar tersebut memerlukan penjelasan lengkap tentang pertimbangan dan proses kepada orang ramai.
- Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, namun menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal demi kestabilan politik.
- Pada 18 September, Sultan Ibrahim memperkenankan Najib menjalani baki hukuman di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk denda RM50 juta.
Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching berkata keputusan sebesar itu tidak dibuat secara sembarangan dan menuntut ketelusan penuh mengenai proses yang membawa kepada keputusan tersebut.
"Wanita DAP menggesa kerajaan mendedahkan minit rasmi mesyuarat Lembaga Pengampunan demi memastikan ketelusan kepada orang ramai.
"Orang ramai berhak mendapat penjelasan lengkap mengenai pertimbangan dan proses yang membawa kepada keputusan ini," katanya menerusi satu kenyataan.
Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Lembaga Pengampunan membenarkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah bersyarat.
Encik Loke berkata menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan terus kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara.
Cik Teo menyifatkan keputusan Encik Loke itu sebagai mencerminkan prinsip yang sekian lama dipegang DAP.
NAJIB JALANI BAKI HUKUMAN DI RUMAH
Pada Jumaat (18 Sep), Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, 73 tahun, yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan keputusan tersebut dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.
Najib menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 berhubung penyelewengan RM42 juta (S$13.17 juta) dana SRC International.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.