Skip to main content

Dunia

Wanita cedera parah diserang ikan yu di pantai Sydney

Seorang wanita cedera parah akibat akibat serangan ikan yu di sebuah pantai di Sydney pada Sabtu (13 Jun), menurut pihak berkuasa, dalam kejadian terbaharu daripada beberapa siri serangan ikan yu di perairan Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita cedera parah diserang ikan yu di pantai Sydney

Anggota polis dan pasukan kecemasan di lokasi kejadian menyusuli laporan serangan ikan yu di Pantai Coogee, Sydney, Australia, pada 13 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Hollie Adams)

Diterbitkan : 13 Jun 2026 01:11PM
SYDNEY: Seorang wanita cedera parah akibat akibat serangan ikan yu di sebuah pantai di Sydney pada Sabtu (13 Jun), menurut pihak berkuasa, dalam kejadian terbaharu daripada beberapa siri serangan ikan yu di perairan Australia.

Pasukan kecemasan dikerahkan ke Pantai Coogee di timur Sydney, bandar terbesar Australia, pada waktu pagi selepas menerima laporan bahawa seorang wanita berusia 30 tahun digigit ikan yu, menurut polis dalam satu kenyataan.

"Wanita itu dibawa naik ke pantai oleh orang awam yang kemudian memberikan bantuan kecemasan awal," menurut polis sambil menambah bahawa mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian lengan dan kaki.

Mangsa kemudian diterbangkan ke hospital dengan helikopter, menurut polis.

Pantai Coogee serta dua lagi pantai berhampiran ditutup pada Sabtu menyusuli serangan tersebut.

Seminggu sebelum itu, seorang lelaki maut selepas diserang ikan yu ketika memancing di perairan wilayah Australia Barat, dalam kejadian maut terbaharu melibatkan haiwan tersebut.

Bulan lalu, seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas diserang ketika memancing di kawasan Great Barrier Reef di Queensland. Sepuluh hari sebelum itu, seorang lagi lelaki berusia 38 tahun maut dibaham ikan yu di perairan sebuah pulau berhampiran Perth, Australia Barat.

Puluhan pantai di sepanjang pesisir timur Australia, termasuk di Sydney, ditutup pada Januari lalu selepas empat serangan ikan yu dilaporkan dalam tempoh dua hari. Kejadian tersebut berlaku selepas hujan lebat menyebabkan air menjadi keruh, sekali gus menarik kehadiran ikan yu dan mengurangkan jarak penglihatan haiwan tersebut.

Kebanyakan serangan ikan yu berlaku di sepanjang pesisir timur dan tenggara Australia, yang mencatatkan purata sekitar 20 kejadian sedemikian setiap tahun, menurut Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita