Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita 48 tahun terperangkap dalam kejadian tanah jerlus di hadapan Masjid India

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita 48 tahun terperangkap dalam kejadian tanah jerlus di hadapan Masjid India

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 23 Aug 2024 05:33PM Dikemas Kini : 24 Aug 2024 01:31AM
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warganegara India dikesan terperangkap dalam kejadian tanah jerlus di hadapan Masjid India pagi Jumaat (23 Ogos).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memberitahu Bernama wanita itu sedang cuba dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Kerja-kerja menyelamat sedang berjalan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan sebentar lagi setelah mendapat maklumat lanjut daripada pegawai operasi,” katanya.

Sementara itu, JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 pagi tadi.

Sebanyak 15 anggota berserta dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian iaitu di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India.

Menurut kenyataan itu, wanita yang terperangkap dan tertimbus tanah jerlus sedalam lapan meter itu berusia 48 tahun dan kerja menyelamat sedang dijalankan.

“Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat serta unit anjing pengesan JBPM berada di lokasi kejadian dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” maklum kenyataan itu.

Pasukan penyelamat akan mengorek kawasan mendapan yang berlaku akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini menggunakan mesin jengkaut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata berikutan peluasan kawasan pencarian, pihaknya juga akan menambah anggota JBPM dalam usaha mencari mangsa.

“Kita dah buat carian manual tetapi gagal menjumpai mangsa, dijangka dalam waktu terdekat akan sambung buat korekan lebih luas di tempat mendapan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata beliau difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan kaki dari Selangor Mansion ke arah Lebuh Ampang apabila insiden itu berlaku. 

“Buat masa ini, kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup serta mengambil rakaman keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian. 

Sementara itu Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi meminta orang ramai mematuhi arahan-arahan dikeluarkan pihak berkuasa semasa berada di dipersekitaran kawasan berkenaan.

Dalam meluahkan rasa simpati terhadap kejadian itu, beliau berkata arahan yang dikeluarkan adalah untuk keselamatan semua pihak.  

"Saya menyeru supaya semua rakyat bertenang dan beri laluan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera dan yang sewajarnya," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 
Sumber : Bernama/IM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan