Wanita 40 tahun tergamak dera anak kandung hingga lebam
Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (21 Ogos) atas pertuduhan dengan sengaja melakukan penderaan terhadap anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak itu pada tahun lalu.
![Wanita 40 tahun tergamak dera anak kandung hingga lebam Wanita 40 tahun tergamak dera anak kandung hingga lebam](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--ag5sYzzr--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/berita-migration/gavel_1.png?itok=M-tr75y_)
Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)
KUALA LUMPUR: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (21 Ogos) atas pertuduhan dengan sengaja melakukan penderaan terhadap anak lelakinya sehingga menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak itu pada tahun lalu.
Wanita berusia 40 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Tertuduh yang bekerja sebagai seorang pembantu kedai makan didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas anak lelakinya yang berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kecederaan iaitu kesan lebam di lengan kiri, kesan luka gigitan di telinga kanan serta kesan merah dipukul pada pipi kiri dan kanan serta belakang badan mangsa.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Lorong Haji Taib 1 di sini antara 7.00 pagi dan 9.00 pagi pada 11 Julai 2019 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,348) atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan untuk jaminan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Sep untuk sebutan semula kes bagi pelantikan peguam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.