Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita 23 tahun dihukum penjara 30 tahun kerana bunuh rakan

Seorang bekas pelajar tingkatan enam dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini (5 Mac) atas tuduhan membunuh rakannya, empat tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pelajar tingkatan enam dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini (5 Mac) atas tuduhan membunuh rakannya, empat tahun lepas.

Hakim Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas tertuduh Siti Nur Athirah Azmi, 23, mengaku bersalah membunuh Siti Nur Suraya Ismail, 19.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu 2 November 2020.
Mengikut tuduhan, Siti Nur Athirah didakwa membunuh Siti Nur Surya di rumah mangsa di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, Hulu Terengganu antara pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun hanya mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh ekoran pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali. 

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui mati berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan oleh adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan