Wanita 22 tahun mati ditikam gara-gara putuskan pertunangan

(Gambar: Utusan Malaysia)
KOTA KINABALU: Cemburu dan tidak berpuas hati pertunangan diputuskan menyebabkan seorang wanita ditikam sebanyak lapan kali oleh bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu pada Isnin (29 Mei).
Mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di pusat beli-belah itu dilaporkan maut dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 12.00 tengah hari, lapor Sinar Harian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang menyatakan telah tertikam bekas tunangnya.
Katanya, susuli panggilan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah dipercayai akibat ditikam.
"Turut berada di lokasi ialah seorang suspek yang merupakan bekas tunang mangsa yang telah ditahan oleh pihak pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada polis.
"Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan cemburu dan suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka dua hari sebelum kejadian.
"Oleh itu, suspek cuba memujuk mangsa di tempat kerjanya, namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi," kata Cik Kalsom dalam satu kenyataan pada tengah malam Selasa (30 Mei).
Tambahnya, kemarahan dengan keputusan mangsa menyebabkan suspek bertindak menikam mangsa.
"Suspek menikam sebanyak lapan kali pada bahagian tubuh mangsa sehingga menyebabkan kematian.
"Pihak paramedik yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamat mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.00 petang sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk dibedah siasat.
"Suspek pula ditahan reman untuk membantu siasatan dan pisau yang digunakannya turut dirampas," Sinar Harian memetik kata-kata Cik Kalsom.
Kes itu dianggap sudah selesai selepas suspek berjaya ditangkap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.