Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wan Saiful akan kemuka representasi dalam tuduhan rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta (S$2.1 juta) membabitkan projek Jana Wibawa, yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob pada Rabu (22 Mac).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya sudah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah pada Rabu.

“Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.

Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta (S$69 juta).

Wan Saiful juga dituduh menerima suapan wang tunai bagi dirinya berjumlah RM6,962,694.54 (S$2.1 juta) melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia diberikan sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan