Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wan Rosdy angkat sumpah Menteri Besar Pahang untuk penggal kedua

Anggaran Waktu Membaca:

PEKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Wan Rosdy Wan Ismail pada Isnin (28 Nov) mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang buat penggal kedua sehingga tempoh yang diperkenankan. 

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang itu berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar.

Turut berangkat Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang Dr Sallehuddin Ishak.  

Encik Wan Rosdy yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang dipilih untuk menerajui pentadbiran negeri Pahang kali pertama pada 15 Mei 2018 bagi menggantikan Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Encik Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai buat penggal kelima dengan majoriti 6,983 undi.

Pelantikan Encik Wan Rosdy mendapat perkenan daripada Tengku Hassanal, yang turut berkenan dengan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH), selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU15. 

Pada pilihan raya itu, BN memperoleh 16 kerusi, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH memenangi lapan kerusi. 

Terdapat 42 kerusi di DUN Pahang, namun pengundian bagi DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Disember 2022, ekoran pemergian calon PN Md Yunus Ramli, 61 tahun, pada pukul 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung. 

Namun, keputusan DUN Tioman itu kelak, juga tidak membolehkan mana-mana parti mendapat majoriti mudah. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan