Skip to main content

Dunia

Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke dakwa Mahathir buat keputusan sendiri berhubung Pedra Branca

Anggaran Waktu Membaca:
Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke dakwa Mahathir buat keputusan sendiri berhubung Pedra Branca

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Seah)

Diterbitkan : 12 Dec 2024 05:09PM Dikemas Kini : 12 Dec 2024 05:11PM
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhunung Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge dibuat sendiri mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018, menurut tiga anggota Kabinet ketika itu.

Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke dalam kenyataan bersama berkata, keputusan itu dibuat Dr Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018.

"Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet. Ingin kami tekankan di sini, ia hanyalah "pemakluman" di bawah agenda "hal-hal lain" dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.

"Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telahpun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Dr Mahathir," menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge dalam laporan diedarkan kepada Ahli Parlimen pada 5 Dis lepas, mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.

Suruhanjaya itu berpendapat, Dr Mahathir berkemungkinan dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri ketika itu untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas, permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya.

Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri, merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, manakala Encik Mohamad yang kini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memegang jawatan Menteri Pertahanan, dan Encik Loke memegang jawatan sama pada waktu itu iaitu Menteri Pengangkutan.

Ketiga-tiga mereka berpandangan, sebagai negarawan, Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan ini dan bukannya memilih meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat.

"Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini," menurut mereka.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pedra Branca manakala Middle Rocks yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik South Ledge, kira-kira empat kilometer dari Pedra Branca, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita