Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wan Azizah akui kerajaan PH lemah kerana banyak anggota Kabinetnya tiada pengalaman

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bukan mudah untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperbaiki sistem berusia 60 tahun yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wan Azizah akui kerajaan PH lemah kerana banyak anggota Kabinetnya tiada pengalaman

Gambar fail Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa wawancara dengan Mediacorp.

Diterbitkan : 03 Mar 2019 07:11PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 07:16PM

PERMATANG PAUH: Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bukan mudah untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperbaiki sistem berusia 60 tahun yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Usaha itu akan mengambil masa, kata beliau, dan ini ditambah dengan beban hutang negara yang banyak, yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

"Selama 60 tahun kerajaan tidak pernah tukar. Bila kita ambil alih, kita tidak ada dana yang mencukupi. Ini fakta... hutang negara kalau kita tidak membayar, kita akan menjadi negara yang bankrap.

"Kita (kerajaan PH) baru lapan bulan, tidak mudah membaiki sistem yang dah lama. Ini bukan excuse (alasan). Kita cuba usahakan dengan mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, jawatankuasa demi jawatankuasa macam mana kita nak turunkan kos sara hidup yang kita rasa bebankan rakyat," kata beliau hari ini (3 Mac).

Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PH, mengakui kerajaan baru mempunyai kelemahan kerana kebanyakan barisan Kabinet merupakan muka baru yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara.

"Kerajaan ada kelemahan memang saya akui, kita tidak 'perfect' (sempurna). Saya sendiri akui sebab (anggota) kabinet semua muka baharu. Yang lama pun (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Menteri Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng dan (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada pengalaman mentadbir negeri.

"(Menteri) lain semua muka baharu. Kami perlu realistik. Bagaimanapun, kita akan cuba betulkan keadaan," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata beliau sekeluarga terhutang budi dengan penduduk Permatang Pauh yang sentiasa memberikan sokongan, bermula dengan suaminya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim sehingga anak mereka, Nurul Izzah.

Dr Wan Azizah berkata walaupun kini beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat di kawasan itu, beliau sentiasa mengingati jasa penduduk Permatang Pauh.

"Saya tidak akan lupa jasa orang Permatang Pauh. Saya memang terhutang budi. Memang saya lama tak balik, memang rindu. Permatang Pauhlah di mana saya bertatih sehingga sampai ke peringkat dunia. Kini, anak saya, Nurul Izzah, pula menjadi wakil rakyat di sini untuk kesinambungan perjuangan kita," katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan