Skip to main content

Dunia

Wan Ahmad Farid Ketua Hakim Negara Malaysia ke-17

Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu dan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada Isnin (28 Jul), menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wan Ahmad Farid Ketua Hakim Negara Malaysia ke-17

Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, angkat menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Jul 2025 07:35AM
  • Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu dan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada Isnin (28 Jul), menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.
  • Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi dilantik menggantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang akan bersara.
  • Hakim Wan Ahmad Farid, 62 tahun, yang berasal dari Kuala Terengganu, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November tahun lalu.
  • Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada 1985 dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya pada 1986.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu dan akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada Isnin (28 Jul), menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan yang dikeluarkan Khamis malam.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi dilantik menggantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang akan bersara.

PROFIL WAN AHMAD FARID

Hakim Wan Ahmad Farid, 62 tahun, yang berasal dari Kuala Terengganu, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November tahun lalu.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari University of West London pada 1985 dan memperoleh Certificate in Legal Practice (Hons) daripada Universiti Malaya pada 1986. Kerjaya guamannya bermula sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu, dari 1987 hingga 2003.

Selain kerjaya perundangan, beliau juga aktif dalam bidang pentadbiran dan politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Antara 2011 hingga 2015, beliau kembali ke bidang guaman sebagai peguam bela dan peguam cara di Tetuan Wan Farid & Surin, Kuala Lumpur.

Hakim Wan Ahmad Farid memulakan kerjaya kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, dan pernah bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mahkamah Tinggi Shah Alam (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas), serta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas 3).

Pada 2024, Beliau juga memainkan peranan penting dalam membuat keputusan dalam kes saman pemula difailkan peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam mengisytiharkan Darurat.

Dalam penghakimannya, Hakim Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa kuasa YDPA dalam mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.

Hakim Wan Ahmad Farid juga merupakan antara anggota panel hakim yang mendengar kes membabitkan pertikaian 263.272 ekar tanah di Duta Enclave membabitkan Semantan Estate Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita