Walz, Vance bertikam lidah konflik di Timur Tengah dalam debat naib presiden Amerika
Calon Naib Presiden Amerika Syarikat, Tim Walz dari Parti Democrat mempersoalkan kesesuaian Donald Trump untuk memegang jawatan presiden pada awal debat naib presiden pada Selasa (1 Okt), dengan alasan bahawa mantan presiden itu terlalu tidak stabil untuk menerajui Amerika, sedang krisis di Timur Tengah semakin memuncak.
Lawannya dari Parti Republican, JD Vance, membalas dengan menegaskan bahawa Encik Trump telah menjadikan dunia lebih selamat sepanjang tempoh menyandang jawatan tersebut.
Di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Hezbollah di selatan Lubnan dan serangan peluru berpandu Iran terhadap Israel pada Selasa, konflik Timur Tengah yang semakin memuncak sejak perang Gaza meletus pada Oktober lalu menjadi topik pertama dalam perdebatan tersebut, memberikan kedua-dua calon naib presiden itu peluang untuk menggariskan dasar luar masing-masing.
Ditanya sama ada beliau akan menyokong serangan awal Israel ke atas Iran, Encik Vance mencadangkan beliau akan menyerahkan keputusan itu kepada Israel, manakala Encik Walz tidak menjawab soalan itu sama sekali.
Encik Walz sebaliknya mengkritik Encik Trump kerana membatalkan perjanjian nuklear Iran. Perjanjian pada 2015, yang ketika itu dibiarkan begitu sahaja oleh Encik Trump pada 2018, telah menghadkan pengayaan uranium Iran pada ketulenan 3.67 peratus dan simpanan bahan itu dihadkan pada 202.8kg - dengan Tehran sudah melebihi had tersebut sejak itu.
“Iran lebih hampir kepada senjata nuklear disebabkan oleh kepimpinan Donald Trump yang berubah-ubah dasarnya,” selar Encik Walz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.