Wakil rakyat lompat parti kelirukan rakyat, kata Bung Moktar
Perbuatan wakil rakyat melompat parti mengelirukan rakyat yang memilih mereka, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.

Encik Bung Moktar Radin. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Perbuatan wakil rakyat melompat parti mengelirukan rakyat yang memilih mereka, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.
Justeru, beliau berkata undang-undang antilompat parti perlu diwujudkan bagi mengekalkan integriti dan moral wakil rakyat yang dipilih.
"Kita ingin melihat wakil rakyat benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat, kawasan dan negara. Sudah tiba masanya untuk kerajaan Pakatan Harapan merealisasikan hasrat rakyat dengan membawa akta ini ke Dewan Rakyat.
"Jika tidak, perbuatan lompat parti ini menjadi trend, seolah-olah mereka yang kalah pada pilihan raya boleh menyertai parti yang menang, seperti mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain," katanya ketika menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam semalam (20 Dis).
Beliau yang baharu dilantik sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata dirinya akan setia bersama parti itu dan terus berjuang untuk membantu mengukuhkan kembali UMNO dengan nafas baru.
Cadangan bagi menggubal Akta Anti Lompat Parti sebelum ini disuarakan oleh Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, turut senada dengannya adalah Senator Lee Tian Sing yang menggesa kerajaan agar menggubal akta berkenaan bagi memastikan kesetiaan dan integriti wakil rakyat kepada pengundi mereka.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Faisal S. Hazis berkata isu keluar parti secara beramai-ramai bukan perkara baharu kerana wujudnya permainan politik penaungan dan menjadi lumrah dalam proses peralihan kuasa.
Malaysia perlu mempunyai undang-undang bagi mendisplinkan ahli politik negara namun ia perlu mengambil kira Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.