Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wakil persatuan khidmat penghantaran, kereta sewa akan bertemu Menteri Pengangkutan M'sia

Wakil-wakil persatuan khidmat kereta sewa privet dan khidmat penghantaran di Malaysia akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan isu yang dihadapi oleh golongan pekerja itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Wakil persatuan khidmat penghantaran, kereta sewa akan bertemu Menteri Pengangkutan M'sia

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (duduk, tengah), di sidang media mengenai isu-isu khidmat penghantaran dan kereta sewa privet di Malaysia pada 5 Ogos 2022. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Aug 2022 08:57AM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 08:59AM
KUALA LUMPUR: Wakil-wakil persatuan khidmat kereta sewa privet dan khidmat penghantaran di Malaysia akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan dan Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan isu yang dihadapi oleh golongan pekerja itu.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Khaizulnizam Mohamad Zuldin berkata perjumpaan dua wakil persatuan itu dengan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong akan berlangsung pada Isnin (8 Ogos) di Putrajaya. 

“Sementara perjumpaan wakil e-hailing dan p-hailing dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan akan diatur dalam waktu terdekat,” katanya kepada para wartawan selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Persatuan Grab Driver Malaysia serta Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia di sebuah restoran di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Jumaat (5 Ogos).

Menurut Encik Khaizulnizam, pertemuan beliau bersama wakil kedua-dua persatuan pada Jumaat adalah berikutan keprihatinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai isu yang dihadapi persatuan itu.

“Saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk turun berjumpa dengan penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh setiap ahli Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Abdul Hakim Abdul Rani berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan caj penghantaran yang dipotong oleh syarikat penyedia perkhidmatan. 

Timbalan Presiden Persatuan Grab Driver Malaysia Mohd Azril Ahmat pula berharap wakil kerajaan dapat mendengar keluhan mereka sebelum mengambil apa-apa keputusan. 

Sebelum ini, tular di media sosial poster yang bertulis “Off 1 Hari” dan “Food Delivery Blackout  Jumaat 5 Ogos 2022”, diikuti mesej untuk memboikot khidmat penghantaran pada Jumaat.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan