Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola tidak sepatutnya mengejutkan dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Wabak Ebola tidak sepatutnya mengejutkan dunia

Seorang petugas kesihatan yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap, bersiap sedia untuk melakukan proses pembasmian kuman di kawasan pengebumian mangsa yang disyaki dijangkiti Ebola di Bunia, timur Republik Demokratik Congo, pada 18 Jun 2026. (Gambar: Reuters/Gradel Muyisa Mumbere)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 04:09PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 04:54PM
GENEVA: Di Republik Demokratik Congo (DR Congo), pesakit yang dijangkiti Ebola kini bergelut untuk terus hidup dengan hanya menerima rawatan sokongan seperti pemberian cecair.

Petugas kesihatan pula mempunyai pilihan rawatan yang amat terhad kerana masih belum ada rawatan atau vaksin yang diluluskan bagi virus Bundibugyo untuk membendung penularannya.

Sekitar dua bulan selepas wabak itu diisytiharkan di wilayah Ituri yang dilanda konflik, sebanyak 2,124 kes Ebola yang disahkan, termasuk 828 kematian, direkodkan setakat 15 Julai.

Wabak itu kini merebak ke empat wilayah di DR Congo serta negara jiran Uganda. Beberapa petugas bantuan dari Eropah dan Amerika Syarikat turut dijangkiti.

Namun, faktor itu sahaja tidak menjelaskan mengapa wabak tersebut menjadi penularan Ebola yang paling pantas menular di dunia.

Wabak tersebut kali ini melepasi 1,000 kes yang disahkan dalam tempoh hanya 40 hari selepas operasi tindak balas dimulakan, berbanding wabak Ebola pada 2018 di wilayah North Kivu yang mengambil masa 235 hari untuk mencapai jumlah yang sama.

Menurut pertubuhan Médecins Sans Frontières (MSF) atau Doctors Without Borders, keadaan yang sedang melanda amat membimbangkan tetapi bukan sesuatu yang luar biasa.

DUNIA BERHENTI MEMBUAT PERSEDIAAN

Doctors Without Borders menyatakan wabak itu mencerminkan corak yang berulang, iaitu dunia hanya melabur dalam kesiapsiagaan penyakit ketika krisis berlaku, sebelum usaha tersebut dihentikan apabila perhatian awam beralih.

Wabak virus Bundibugyo pada 2007 dan 2012 sebelum ini telah menunjukkan kelemahan yang masih wujud hingga hari ini, termasuk ketiadaan rawatan, vaksin dan ujian diagnostik pantas yang diluluskan.

Namun, selepas kedua-dua wabak itu reda, usaha untuk mengekalkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan turut merosot.

Menurut Doctors Without Borders, rayuan pertubuhan itu dan yang lain bagi memastikan pembiayaan berterusan untuk menampung jurang tersebut tidak mendapat sambutan, sama ada daripada sektor komersil mahupun atas kepentingan biokeselamatanglobal, kerana tiada krisis aktif ketika itu.

Hari ini, vaksin dan rawatan yang diluluskan hanya tersedia bagi Ebola yang disebabkan oleh virus Ebola (dahulunya dikenali sebagai virus Zaire), hasil penyelidikan yang dipercepat selepas wabak besar Afrika Barat antara 2014 hingga 2016, yang meragut 11,325 nyawa.

Pada bulan Julai 2026, satu ujian klinikal tajaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dikenali sebagai PARTNERS, dilancarkan bagi mengenal pasti rawatan pertama yang berkesan terhadap penyakit akibat virus Bundibugyo.

Menurut Doctors of Congo, langkah itu dialu-alukan, namun ia hanya dapat direalisasikan selepas hampir dua dekad dan lagi satu wabak maut berlaku.

Pertubuhan itu menegaskan, pendekatan dunia terhadap kesiapsiagaan penyakit masih bersifat reaktif, iaitu melabur secara terhad ketika krisis, mengisytiharkan kejayaan apabila keadaan reda, kemudian beralih kepada isu lain.

Keadaan itu, mewujudkan kitaran darurat kesihatan yang boleh dijangka dan dicegah, namun terus meragut terlalu banyak nyawa.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita