Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola di DR Congo kini atasi keupayaan respons

Anggaran Waktu Membaca:
Wabak Ebola di DR Congo kini atasi keupayaan respons

Logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelihatan di ibu pejabatnya di Geneva, pada 7 Disember 2021. (Gambar fail: AFP/Fabrice Coffrini)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 09:02AM Dikemas Kini : 05 Aug 2026 09:12AM
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Selasa (4 Ogos) bahawa penularan wabak Ebola Bundibugyo di Republik Demokratik Congo (DR Congo) kini melangkaui keupayaan respons sedia ada, sekali gus menggesa sokongan kewangan dan operasi disalurkan segera bagi mengekang penularannya.

"Penularan wabak ini kian merebak melebihi kemampuan keupayaan respons untuk menanganinya. Ini merupakan penularan terbesar yang pernah dihadapi negara berkenaan," kata Pemangku Ketua Pelan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) WHO Dr Vasee Moorthy kepada wartawan di Geneva.

Dr Moorthy berkata, operasi respons memerlukan lebih banyak peruntukan dan sumber untuk meluaskan kapasiti rawatan, pasukan siasatan lapangan, pasukan pengebumian selamat serta golongan petugas kesihatan, sambil menambah bahawa usaha mesti ditumpukan di kawasan virus sedang merebak dan di mana ia akan merebak seterusnya.

Setakat 1 Ogos, penularan wabak itu mencatatkan 3,748 kes disahkan dan 1,657 kematian disahkan, manakala 708 pesakit pulih. Kes sudah dilaporkan di 49 zon kesihatan merentasi lima wilayah, dengan sekitar 17,000 kontak rapat berada di bawah pemantauan, yang mana lebih 80 peratus dipantau setiap hari.

Dr Moorthy memaklumkan setakat ini tiada rawatan, vaksin atau ubat pencegahan khusus yang terbukti selamat dan berkesan bagi Ebola Bundibugyo, walaupun akses awal kepada penjagaan proaktif mampu menyelamatkan nyawa.

Dr Moorthy berkata ujian klinikal bagi rawatan eksperimen dan potensi ubat pencegahan pascapendedahan sedang dijalankan di Congo, manakala dua calon vaksin khusus untuk Bundibugyo sudah memasuki ujian Fasa 1 di Britain dan Kanada.

Sumber : Bernama/Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita