Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola di Congo masih boleh dikawal dalam tempoh 3 bulan: WHO

Anggaran Waktu Membaca:
Wabak Ebola di Congo masih boleh dikawal dalam tempoh 3 bulan: WHO

Para pekerja Palang Merah melakukan kerja pembasmian kuman di Hospital Besar Rwampara sebelum mengendalikan mayat seorang mangsa Ebola di Rwampara, wilayah Ituri, Republik Demokratik Congo, pada 21 Mei 2026. (Gambar fail: REUTERS/Gradel Muyisa Mumbere)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 10:37PM
  • Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo semakin memburuk, kini merebak ke wilayah keenam dan telah meragut lebih 2,325 nyawa.
  • WHO menyatakan wabak masih boleh dikawal dalam tiga bulan jika sumber mencukupi, namun setakat ini hanya 60 peratus dana diperlukan berjaya dikumpul.
  • Cabaran utama termasuk kekurangan sumber, kelewatan pengesanan kes, kekurangan vaksin, rawatan, dan konflik bersenjata di kawasan terjejas.
  • Jawatankuasa Kecemasan WHO bermesyuarat untuk menilai status darurat dan mengemukakan saranan kepada negara-negara bagi mengawal penularan Ebola.
Dijana oleh AI
GENEVA: Wabak Ebola yang semakin pantas menular di Republik Demokratik Congo masih boleh dikawal dalam tempoh tiga bulan sekiranya sumber yang diperlukan tersedia, menurut seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (18 Ogos).

WHO sebelum ini menyatakan penularan Ebola boleh dibendung dalam tempoh tiga bulan.

Namun, terdapat tanda-tanda wabak itu semakin memburuk sejak itu, dengan wabak tersebut kini merebak ke wilayah keenam.

"Berhubung rancangan bagi tiga bulan akan datang, ya, jika anda mempunyai sumber yang diperlukan, saya fikir ia boleh dilakukan," kata Pengurus Insiden WHO Thierno Balde kepada wartawan di Geneva dari Bunia, Republik Demokratik Congo.

Wabak itu merupakan yang paling dahsyat daripada 17 wabak Ebola yang pernah melanda negara tersebut dan sudah meragut sekurang-kurangnya 2,325 nyawa.

SUMBER MASIH TIDAK MENCUKUPI

Sumber bagi usaha menangani wabak itu masih tidak mencukupi.

Setakat ini, WHO memperoleh sekitar 60 peratus daripada AS$115 juta (S$147 juta) yang diperlukan bagi usaha menangani Ebola.

Antara cabaran lain termasuk kelengahan dalam mengesan kes, pasukan pemantauan yang dibebani jumlah kes yang tinggi, pertempuran bersenjata serta kekurangan vaksin dan rawatan bagi varian Bundibugyo yang jarang berlaku.

Namun, usaha membendung penularan sedang dipertingkat.

Sebanyak 400 katil tambahan disediakan dalam tempoh dua minggu lalu, manakala lebih ramai pakar epidemiologi akan dikerahkan untuk mengesan kontak pesakit.

"Keadaan agak sukar, tetapi orang ramai di sini bekerja siang dan malam untuk cuba membendung wabak ini," kata Encik Balde.

WABAK MASIH JAUH DARIPADA TERKAWAL

Beberapa pegawai kanan lain memberitahu Reuters bahawa wabak tersebut masih jauh daripada dapat dikawal.

Mereka menarik perhatian bahawa antara 70 dengan 80 peratus kes baharu tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan pesakit sedia ada.

Ini menunjukkan virus tersebut masih menular tanpa dapat dikesan di banyak kawasan.

"Kita masih jauh daripada mengetahui skala sebenar wabak ini," kata Ketua Kesediaan dan Respons Kecemasan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), Dr Wessam Mankoula.

"Ia tidak akan berakhir dalam beberapa minggu atau bahkan beberapa bulan," tambah beliau.

Jawatankuasa Kecemasan WHO dijadualkan bermesyuarat pada Selasa (18 Ogos) bagi membincangkan wabak Ebola, yang diisytiharkan WHO sebagai darurat kesihatan awam yang menjadi keprihatinan antarabangsa pada 17 Mei.

Jawatankuasa itu akan memutuskan sama ada status darurat tersebut perlu dilanjutkan dan mengemukakan saranan kepada negara-negara bagi mengawal penularannya.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita