Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

VTL S'pura-M'sia: Syarikat bas ekspres, hotel perhebat usaha sambut pelawat dari S'pura

Sudah hampir seminggu VTL Singapura-Malaysia dilaksanakan namun pemain-pemain industri pelancongan Malaysia masih belum merasakan kesan positifnya.

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Sudah hampir seminggu VTL Singapura-Malaysia dilaksanakan namun pemain-pemain industri pelancongan Malaysia masih belum merasakan kesan positifnya.

Bagaimanapun syarikat bas ekspres dan hotel-hotel tetap rancak membuat persiapan dan menyediakan tawaran istimewa khusus buat pelawat VTL dari Singapura.

Tahun lalu, sektor pelancongan Malaysia mencatat kerugian sekitar RM100 bilion (S$32.4 bilion) setelah kehilangan lebih 80 peratus pelancong Singapura akibat pandemik.

Syarikat bas ekspres seperti Eltabina misalnya mengalami kerugian RM2 juta (S$648,800) sejak COVID-19 melanda. Sebelum pandemik, 10 bas Eltabina berulang-alik antara kedua-dua negara setiap hari dan ini membentuk 70 peratus pendapatan syarikat ini.

Kini VTL Darat Singapura-Malaysia dilihat sebagai sinar harapan untuk sektor pelancongan bangkit semula. Untuk itu, Eltabina mengorak langkah melabur RM500,000 (S$162,200) bagi bersiap menyambut kembali penumpang dari Singapura.

"Bila dua tahun bas tak jalan sepenuhnya, kita kena perbaharui cukai jalan raya semua bas kita. Kita kena selenggara bas dengan teliti sebab kita tak tahu bila bas lama tak bergerak," jelas Ketua Pemasaran Eltabina Express, Encik Perwira Sadli.

Kini sudah hampir seminggu VTL dilaksanakan, namun Eltabina masih belum menyaksikan penambahan jualan tiket.

"Kita hantar dua biji bas ke Larkin pada 29 November jadi dengan harapan bas kita penuh tapi apa yang berlaku sangatlah terkejut sebab bila tak ada penumpang yang naik bas.

"Rupa-rupanya rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura yang nak balik ke Malaysia ini, ibu bapa ahli keluarga teruja untuk berjumpa dan mereka jemput dengan kereta," tambah Encik Perwira.

Selain syarikat-syarikat bas ekspres yang membuat persiapan untuk menyambut semula kedatangan para penumpang dari Singapura, beberapa hotel di sini juga menyediakan beberapa tawaran istimewa khusus buat para pelawat VTL Singapura-Malaysia.

Oakwood Hotel & Residences Kuala Lumpur misalnya cuba memikat rakyat Singapura dengan potongan harga.

Ia berkolaborasi dengan Oakwood Premiere Singapore untuk menawarkan program khas dan tawaran istimewa.

"Program ini 'Welcome Back Neighbour'. Kita kembalikan jiran kita sebab kami mengalu-alukan kedatangan para pelawat dari Singapura untuk ke Malaysia. Sebelum pandemik ini memang kita punya lima kumpulan pelancong terbesar adalah dari Singapura," kongsi Pengarah Jualan, Oakwood Hotel & Residences Kuala Lumpur, Cik Noraini Ahmad.

Usaha mereka mula berhasil apabila tempahan meningkat dari pelawat Singapura untuk suku pertama tahun depan.

Ini diharap dapat mengurangkan kerugian yang dialami.

Menurut Persatuan Hotel-hotel Malaysia, kerugian yang dialami hotel-hotel pada tahun lalu sahaja mencecah lebih RM5 bilion (S$1.62 bilion).

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan