Vivy Yusof & suami didakwa atas tuduhan salah guna dana Khazanah, Permodalan Nasional Berhad
Pengasas FashionValet Sdn Bhd Vivy Yusof dan suaminya Fadzarudin Shah Anuar didakwa atas tuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta (S$2.44 juta) milik syarikat itu.

Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37 tahun, dan Fadzarudin, 36 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan bersama.
Pada 5 Disember tahun lalu, Vivy dan Fadzarudin mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta (S$2.44 juta).
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta (S$2.44 juta) daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu dipercayai dilakukan di Cawangan Public Bank Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah berkata berkenaan isu jaminan, pihaknya memohon mahkamah untuk menggunakan jumlah jaminan yang sama seperti dalam prosiding sebelum ini, iaitu RM100,000 (S$30.4 ribu) bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
“Saya mohon satu tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan,” katanya.
Peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan itu tidak membantah mengenai isu jaminan.
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan jaminan sama diguna pakai dan menetapkan 10 Mac sebagai tarikh sebutan kes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.