Skip to main content

Dunia

Visi Saudi 2030 pacu pembangunan pelancongan, perumahan dan infrastruktur

Pelaksanaan Visi Saudi 2030 terus mencatat kemajuan dalam sektor pelancongan, perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan haji, sekali gus memperkukuh usaha Arab Saudi mempelbagaikan ekonominya, menarik pelaburan serta meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Visi Saudi 2030 pacu pembangunan pelancongan, perumahan dan infrastruktur

Pendaftaran perniagaan bagi kemudahan penginapan pelancong di Arab Saudi meningkat 37 peratus kepada 18,956 setakat akhir suku ketiga 2026. (Gambar: Visi Saudi 2030)

Diterbitkan : 09 Nov 2026 11:54PM
Saudi Vision 2030 drives development in tourism, housing and infrastructure
  • The implementation of Saudi Vision 2030 is driving tourism growth: guest house registrations rose 52 per cent to 18,115, while accommodation amenities increased 37 per cent to 18,956 by the end of the third quarter of 2026.
  • From January to September 2026, 90,836 families obtained their first homes and 73,614 received support. The Sakani programme recorded more than 1.06 million subsidised contracts, supporting the target of 70 per cent home ownership by 2030.
  • The Riyadh Region Infrastructure Projects Centre and Riyadh Metro received international recognition in Barcelona for their planning and digital solutions. The development improves urban coordination and recognises modern public transport.
  • The Hajj Conference in Jeddah, held from Nov 8 to 11, brought together participants from more than 150 countries and included staff training. Meanwhile, Pakistan confirmed its participation in Expo 2030 on Nov 5, with more than 185 participants and construction of the site under way.
Dijana oleh AI

RIYADH: Pelaksanaan Visi Saudi 2030 terus mencatat kemajuan dalam sektor pelancongan, perumahan, infrastruktur dan perkhidmatan haji, sekali gus memperkukuh usaha Arab Saudi mempelbagaikan ekonominya, menarik pelaburan serta meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Kementerian Perdagangan Arab Saudi melaporkan peningkatan 52 peratus dalam pendaftaran perniagaan bagi aktiviti rumah penginapan pelancong kepada 18,115 setakat akhir suku ketiga 2026, berbanding 11,900 dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), pendaftaran perniagaan bagi kemudahan penginapan pelancong turut meningkat 37 peratus kepada 18,956, berbanding 13,819 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan tersebut mencerminkan peningkatan peluang perniagaan dan pelaburan dalam sektor pelancongan, selain menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia juga sejajar dengan usaha Arab Saudi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

LEBIH 90,000 KELUARGA DUDUKI RUMAH PERTAMA

Dalam sektor perumahan, Kementerian Perbandaran dan Perumahan Arab Saudi melaporkan bahawa sekitar 90,836 keluarga sudah menduduki rumah pertama masing-masing antara Januari hingga September 2026.

Daripada jumlah tersebut, 73,614 keluarga menerima manfaat menerusi perkhidmatan sokongan perumahan.

Jumlah keseluruhan kontrak bersubsidi yang ditandatangani sejak pelancaran program perumahan Sakani pada 2017 pula mencecah 1,068,787 setakat akhir September tahun ini.

Pencapaian tersebut menyokong sasaran Visi Saudi 2030 untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan keluarga Saudi kepada 70 peratus menjelang 2030.

INFRASTRUKTUR RIYADH RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Sementara itu, Pusat Projek Infrastruktur Wilayah Riyadh disenaraikan antara empat inisiatif terbaik dunia dalam kategori tadbir urus dan ekonomi pada Anugerah Bandar Pintar Dunia 2026 di Barcelona, Sepanyol.

Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi pelan induk menyeluruh bagi projek infrastruktur di wilayah Riyadh, yang dipilih daripada lebih 533 penyertaan melibatkan 68 negara.

Pusat berkenaan turut mengetengahkan pelbagai penyelesaian digital, termasuk platform data geospatial, pemetaan interaktif projek infrastruktur dan sistem pemantauan pintar bagi meningkatkan kecekapan penyelarasan serta pelaksanaan projek pembangunan bandar.

Metro Riyadh pula disenaraikan antara empat projek pengangkutan terbaik dunia pada acara sama, sekali gus mengiktiraf kemajuan Arab Saudi dalam membangunkan sistem pengangkutan awam moden dan mampan.

PERSIDANGAN HAJI HIMPUN PENYERTAAN LEBIH 150 NEGARA

Dalam sektor perkhidmatan haji, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan kerjasama Program Khidmat Tetamu Allah menganjurkan Persidangan dan Pameran Haji edisi keenam di Jeddah dari 8 hingga 11 November.

Acara tersebut menghimpunkan lebih 520 agensi pemerintah, entiti sektor swasta dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, dengan penyertaan dari lebih 150 negara.

Pameran berkenaan meliputi kawasan seluas lebih 67,000 meter persegi, dengan lebih 15 zon dan program utama.

Penganjurannya turut disokong program pembangunan tenaga kerja yang merangkumi 11 bidang latihan bagi petugas pejabat urusan haji dan ketua kumpulan jemaah menjelang musim haji 1448 Hijrah (2027).

Latihan tersebut merangkumi pengurusan pengangkutan, pergerakan jemaah, penginapan, pemakanan, perkhidmatan di tempat suci, kesihatan, komunikasi serta pengurusan risiko dan kecemasan.

Inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan kecekapan petugas dan mutu perkhidmatan kepada jemaah, selaras dengan usaha Arab Saudi membangunkan sistem perkhidmatan haji dan umrah yang lebih cekap serta bersepadu.

LEBIH 185 PESERTA SAHKAN PENYERTAAN EKSPO 2030 RIYADH

Dalam perkembangan lain, Arab Saudi turut meneruskan persiapan bagi Ekspo 2030 Riyadh, dengan Pakistan menandatangani kontrak penyertaan secara rasmi pada 5 November.

Menurut SPA, lebih 185 peserta rasmi sudah mengesahkan penyertaan dalam acara tersebut.

Kerja-kerja pembangunan infrastruktur juga sedang dijalankan di tapak ekspo seluas enam juta meter persegi.

Secara keseluruhan, perkembangan dalam pelbagai sektor tersebut mencerminkan usaha berterusan Arab Saudi merealisasikan Visi Saudi 2030 menerusi kepelbagaian ekonomi, peningkatan daya saing, pembangunan infrastruktur serta pengukuhan peranan sektor swasta.

Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita