Skip to main content

Dunia

Visa umrah mula dikeluarkan, jemaah dibenarkan masuk Arab Saudi mulai 1 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
Visa umrah mula dikeluarkan, jemaah dibenarkan masuk Arab Saudi mulai 1 Jun

(Gambar: Kementerian Haji dan Umrah Saudi)

Diterbitkan : 01 Jun 2026 07:21AM Dikemas Kini : 01 Jun 2026 08:24AM

MAKKAH: Arab Saudi mula mengeluarkan visa Umrah dan membenarkan kemasukan jemaah ke Arab Saudi mulai Ahad (31 Mei), 14 Zulhijah untuk musim Umrah yang baharu.

Menurut kalendar musim Umrah 1448 Hijrah, yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah baru-baru ini, jemaah boleh memasuki Makkah dan mendapatkan permit Umrah melalui aplikasi Nusuk bermula Isnin, 1 Jun.

Hari terakhir untuk mengeluarkan visa Umrah ditetapkan pada 1 Syawal 1448 Hijrah bersamaan 9 Mac 2027, manakala tarikh akhir untuk jemaah memasuki Saudi ialah 15 Syawal 1448 Hijrah bersamaan 23 Mac 2027. Kementerian itu mengesahkan bahawa 30 Syawal 1448 bersamaan 7 April 2027, akan menandakan tarikh berlepas terakhir untuk jemaah Umrah.

Kementerian itu menggesa syarikat-syarikat penyedia khidmat umrah dan ejen luar negara supaya mematuhi jadual yang diluluskan dan mematuhi semua peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan bermutu tinggi kepada jemaah sepanjang musim.

Pada Sabtu, Kementerian Haji dan Umrah Saudi mengumumkan kejayaan pelaksanaan pelan operasi musim haji 2026, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Pelan itu dilaksanakan oleh lebih 22,000 petugas khusus dengan sokongan 3,000 aset dan jentera yang beroperasi sepanjang masa di Makkah dan tapak suci.

Jurucakap kementerian Mohammed Al Rasasimah berkata usaha pembersihan dan sanitasi alam sekitar berjaya mengutip lebih 250,000 tan sisa di Makkah, dengan purata melebihi 6,000 tan sehari.

Selain itu, lebih 16,000 tan sisa dibersihkan di tapak-tapak merata Makkah dengan purata melebihi 200 tan sehari.

Pasukan khas turut menjalankan lebih 38,000 lawatan pemeriksaan ke dapur penyediaan makanan dan premis makanan di Makkah serta tapak suci, selain menguji lebih 5,000 sampel makanan menerusi makmal lapangan dan tetap.

Tiada kes keracunan makanan direkodkan sepanjang musim haji kali ini.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita