Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Virus selesema burung di Kemboja sudah menular bertahun lamanya

Anggaran Waktu Membaca:
Virus selesema burung di Kemboja sudah menular bertahun lamanya

Itik berenang di sebuah kolam di ladang kampung Snoa di luar Phnom Penh, Kemboja, pada 23 Februari 2023. (Gambar: AP)

PHNOM PENH: Virus yang menyebabkan dua individu di Kemboja terjangkit selesema burung H5N1 sudah dikenal pasti sebagai klad endemik selesema burung yang merebak di negara itu, menurut Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarika (AS).

Kes-kes yang dilaporkan pada minggu lalu membangkitan keprihatinan bahawa ia tercetus oleh jenis virus H5N1, klad 2.3.4.4b, yang muncul pada 2020 dan menyebabkan rekod jumlah kematian dalam kalangan burung liar serta ternakan ayam itik di dalam negeri sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun, penyelidikan yang sudah dijalankan sejauh ini tidak mencadangkan sedemikian.

Penjujukan genetik awal yang dijalankan di Kemboja mendorong kementerian kesihatan negara itu untuk mengenal pasti virus tersebut sebagai H5, klad 2.3.2.1c, yang merebak di Kemboja dalam kalangan burung serta ayam itik buat bertahun-tahun lamanya. Ia juga sudah menyebabkan jangkitan sekali-sekala dalam kalangan manusia, menurut CDC dalam satu kenyataan pada Sabtu (25 Feb).

"Meskipun ia menyebabkan jangkitan manusia pada masa lalu, ia tidak dilihat sebagai menyebabkan penularan sesama manusia. Bagaimanapun, itu tidak bermakna ancamannya kurang," kata Erik Karlsson, Pengarah Pusat Influenza Nasional Kemboja dan pemangku ketua virologi di Institut Pasteur du Cambodge yang melakukan penjujukan ke atas virus tersebut.

Beliau menambah tindak balas yang diambil perlulah pantas dan diselaraskan bagi mencegah sebarang penularan lanjut. Ini di samping membataskan pendedahan kepada mana-mana sumber sama.

Siasatan ke atas sumber itu dan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang kes tambahan kini sedang dijalankan, menurut CDC. Ia menambah sejauh ini, tiada tanda-tanda bahawa penularan berlaku akibat jangkitan sesama manusia.

12 orang diuji positif bagi virus H5N1 di Kemboja pada minggu lalu selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun meninggal dunia akibat virus tersebut. Kesnya dipercayai penularan pertama yang diketahui berlaku pada manusia di negara itu dalam tempoh hampir sedekad.

Bapa mangsa, yang menjadi sebahagian daripada kumpulan di mana anaknya mempunyai hubungan kontak di daerah timur ibu kota Phnom Penh, diuji positif virus itu tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, kata Menteri Kesihatan Kemboja Mam Bunheng dalam satu kenyataan pada Jumaat (24 Feb).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan penguasa Kemboja menyusuli kes-kes tersebut. Ia menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan menyusuli kenaikan pada jumlah kes jangkitan dalam kalangan burung serta mamalia lewat kebelakangan ini.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan