Virus korona baru dinamakan 'Covid-19': WHO
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Feb) mengumumkan "Covid-19" sebagai nama rasmi virus korona baru pembawa maut dari China.

(Gambar: CDC)
GENEVA: Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (11 Feb) mengumumkan "Covid-19" sebagai nama rasmi virus korona baru pembawa maut dari China.
Menurut pertubuhan itu lagi, virus itu membawa "ancaman serius" kepada seluruh dunia tetapi terdapat "peluang yang realistik" untuk menghentikannya.
"Kami kini mempunyai nama bagi penyakit itu dan ia adalah Covid-19," menurut ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Menurut Encik Tedros, nama itu dipilih bagi mengelakkan sebarang rujukan kepada satu-satu lokasi geografi khusus, spesies haiwan atau kumpulan orang sejajar dengan saranan antarabangsa bagi penamaan yang bertujuan mencegah stigma.
Di bawah garis panduan yang dikeluarkan pada 2015, WHO menasihatkan bahawa nama-nama tempat seperti Ebola dan Zika tidak digunakan. Penyakit-penyakit itu pertama kali dikenal pasti di tempat-tempat tersebut dan kini dikaitkan kepada mereka dalam minda orang ramai.
Nama-nama lebih umum seperti 'MERS' atau 'Spanish flu' juga kini dielakkan kerana ia boleh menimbulkan stigma terhadap seluruh daerah atau sesebuah kaum.
WHO juga menarik perhatian terhadap penggunaan spesies haiwan dalam penamaan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan seperti pada 2009 ketika H1N1 dirujuk sebagai 'selesema babi'.
Ia memberi kesan utama kepada industri daging babi meskipun penyakit itu merebak melalui manusia dan bukan daripada babi.
Nama-nama orang - lazimnya para saintis yang mengenal pasti penyakit itu - juga dilarang, selain "istilah yang boleh mencetuskan ketakutan tidak sewajarnya" seperti "tidak diketahui" atau "membawa maut", menurut WHO.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.