Virus COVID-19 ditemui pada bungkusan sotong import di China
Pihak berkuasa di wilayah Jilin di timur laut China menemui kesan virus korona baru pada bungkusan sotong diimport, menurut pihak berkuasa kesihatan di bandar Fuyu pada Ahad (20 Sep), sambil menggesa sesiapa yang mungkin membeli produk itu supaya menjalani ujian.
Virus SARS-CoV-2, yang menyebabkan jangkitan COVID-19. (Gambar: NIAID)
NINGBO, China: Pihak berkuasa di wilayah Jilin di timur laut China menemui kesan virus korona baru pada bungkusan sotong diimport, menurut pihak berkuasa kesihatan di bandar Fuyu pada Ahad (20 Sep), sambil menggesa sesiapa yang mungkin membeli produk itu supaya menjalani ujian.
Salah satu daripada bungkusan itu tiba di bandar berkenaan dari ibu kota wilayah Changchun, menurut pejabat kesihatan bandar Fuyu di akaun rasminya di WeChat pada Ahad.
Ia meminta orang ramai yang telah membeli dan makan sotong import dari kedai borong makanan laut beku Sanjia Deda antara 24 Ogos dengan 31 Ogos supaya melaporkan diri kepada pihak berkuasa kejiranan dan menjalani ujian COVID-19.
Pejabat pencegahan COVID-19 Changchun menyatakan sotong itu diimport dari Rusia oleh sebuah syarikat di bandar Hunchun dan dibawa masuk ke ibu kota wilayah itu.
Pihak kastam China menyatakan pada Jumaat bahawa ia akan menggantung import daripada syarikat-syarikat selama seminggu jika produk makanan beku diuji positif COVID-19 dan selama sebulan jika produk pembekal diuji positif buat kali ketiga atau lebih dari itu.
Tanah besar China baru-baru ini melaporkan jumlah kes yang rendah bagi jangkitan virus yang muncul di Wuhan pada lewat tahun lalu, dengan hanya 10 kes baru COVID-19 dilaporkan pada Sabtu. Menurutnya, kes-kes jangkitan yang baru itu melibatkan mereka yang tiba ke China dari negara lain.
Pada Ogos, pihak berkuasa di dua bandar China menyatakan mereka menemui kesan virus COVID-19 dalam muatan makanan beku yang diimport. Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada ketika itu bahawa ia tidak menemui bukti bahawa COVID-19 disebarkan menerusi makanan atau bungkusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.