Skip to main content

Dunia

Vietnam perketat keselamatan sempadan jelang lawatan Kim Jong Un

Polis Vietnam sudah mempertingkatkan tahap keselamatan di sebuah stesen kereta api yang terpencil di bahagian sempadan China di mana pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dijangka akan memasuki negara itu melalui kereta api minggu depan bagi sidang puncak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:
Vietnam perketat keselamatan sempadan jelang lawatan Kim Jong Un

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dijangka akan memasuki negara Vietnam melalui kereta api minggu depan. (Gambar: Kham/Reuters)

Diterbitkan : 22 Feb 2019 08:28AM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 08:33AM

DONG DANG, VIETNAM: Polis Vietnam sudah mempertingkatkan tahap keselamatan di sebuah stesen kereta api yang terpencil di bahagian sempadan China di mana pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dijangka akan memasuki negara itu melalui kereta api minggu depan bagi sidang puncak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Vietnam sedang membuat persiapan bagi ketibaan Encik Kim melalui kereta api bagi sidang puncak pada 27 dan 28 Feb di ibu kota Hanoi. Ini menurut dua sumber rapat yang mempunyai maklumat mengenai perancangan keselamatan dan logistik kepada pihak Reuters pada Rabu.

Kereta api Encik Kim akan berhenti di stesen sempadan Dong Dang di mana beliau akan turun dari kereta api dan meneruskan perjalanan sejauh 170 kilometer ke Hanoi, dengan menaiki kereta, menurut sumber-sumber berkenaan.

Seorang saksi Reuters berkata bahawa para pekerja binaan dilihat sedang melakukan kerja-kerja naik taraf di stesen Dong Dang pada Khamis.

Pegawai polis berpakaian preman juga sedang mengawasi kawasan itu dan menghalang seorang jurugambar Reuters daripada melakukan sebarang rakaman dan meminta untuk melihat kad pengenalannya.

Dua lagi pegawai keselamatan turut mengekori kru TV Reuters dengan menunggang motosikal, sementara seorang lagi mengawasi mereka dari sebuah kereta.

Pasu-pasu bunga diletakkan di tepi platform, yang kelihatan seperti ia sudah dibersihkan baru-baru ini.

Seorang pegawai Jawatankuasa Rakyat tempatan memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa wilayah sudah mengeluarkan arahan agar stesen tersebut dibersihkan.

"Kami sudah diberitahu supaya bersiap sedia untuk satu acara penting di stesen kereta api itu," menurut pegawai tersebut, yang tidak menjelaskan lanjut kerana tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.

Sumber : Reuters/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita