Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Vietnam bakal bina landasan kereta api laju AS$67 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
HANOI: Vietnam pada Sabtu (30 Nov) mengumumkan bahawa ia akan membina landasan kereta api laju bernilai AS$67 bilion (S$89 bilion) dari Hanoi ke Ho Chi Minh City.

Ia dijangka dapat memacu pertumbuhan dan meningkatkan reputasinya dalam kalangan pelabur asing.

Landasan sepanjang 1,500 kilometer itu bermula dari ibu negara di utara hingga ke hab perniagaan di selatan negara itu, dan akan mengurangkan masa perjalanan menggunakan kereta api dari 30 jam kepada kira-kira lima jam.

"Perhimpunan negara mengundi untuk meluluskan resolusi bagi dasar-dasar pelaburan untuk projek kereta api laju di axis Utara-Selatan," tulis kenyataan di laman web parlimen Vietnam.

Prasarana pengangkutan Vietnam dianggap agak lemah, dengan rangkaian jalan raya berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan dan sistem kereta api yang kurang maju.

Dan Martin, Penasihat Perniagaan Antarabangsa Dezan Shira & Associates, berkata projek itu akan "meningkatkan ekonomi Vietnam".

Timbalan Menteri Perancangan dan Pelaburan Vietnam Tran Quoc Phuong sebelum ini menggelar laluan baharu itu "satu kejayaan" dalam infrastruktur negara yang akan meningkatkan GDP negara dengan purata 0.97 mata peratusan setiap tahun.

Pada 2010, Perhimpunan Negara menolak projek serupa, yang dianggarkan akan menelan belanja AS$56 bilion (S$75 bilion) kerana bimbang ia terlalu mahal.

Namun, kesan potensi projek itu berubah secara mendadak, kata Encik Martin.

Beliau menambah bahawa terdapat "momentum yang semakin berkembang" di sebalik projek kereta api laju di seluruh Asia Tenggara, di mana Laos dan Indonesia sudah mempunyai laluan kereta api sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Laluan kereta api baharu itu akan berhenti di 23 stesen di 20 bandar dan wilayah berbeza, sekali gus meningkatkan keterhubungan antara pelbagai wilayah dan memberi lebih banyak pilihan perjalanan kepada penduduk tempatan.

Projek tersebut dijadualkan mengambil masa lapan tahun, yang akan bermula pada 2027.

Ia dijadualkan siap pada 2035.
Sumber : AFP/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan