Skip to main content

Dunia

Vietnam arahkan Netflix halang tayangan drama China 'Flight to You' selepas filem 'Barbie' diharamkan

Anggaran Waktu Membaca:
Vietnam arahkan Netflix halang tayangan drama China 'Flight to You' selepas filem 'Barbie' diharamkan

Gambar: Agensi berita

Diterbitkan : 14 Jul 2023 06:26PM
HANOI: Selepas mengharamkan tayangan filem "Barbie" kerana didakwa memaparkan babak sensitif tentang kedaulatan Laut China Selatan, kini Vietnam mengarahkan Netflix untuk menghalang penstriman drama China bertajuk "Flight to You" di negara itu, atas alasan yang sama.

Portal berita Independent yang memetik Jabatan Pawagam Vietnam berkata, pemerintah Vietnam tegas membantah sebarang babak yang cuba memaparkan sembilan garis putus-putus atau 'nine-dash line' yang mencabuli kedaulatan Vietnam dan beberapa negara ASEAN lain di Laut China Selatan.
Sembilan garis putus-putus merupakan perkara yang rumit berkenaan tuntutan China terhadap beberapa bahagian di Laut China Selatan, yang mana kawasan tersebut turut dituntut oleh Malaysia dan Filipina.

Jabatan Pawagam Vietnam dalam kenyataan tersebut berkata, mereka sudah menilai semula kesemua 39 episod kandungan drama tersebut, dan mengesan peta kontroversi itu dalam sembilan episod.

Episod ke-18 sebagai contoh memaparkan seorang watak dalam drama tersebut berkata – “Satu hari nanti peta ini akan mencapai banyak tempat di serata dunia”.

Walaupun syarikat pengelola kandungan di Vietnam, FPT mengaburkan babak tersebut, namun jabatan itu bertegas mahu drama tersebut diharamkan sepenuhnya selepas mendakwa ia mengandungi kandungan yang mencabar kedaulatan Vietnam.

Baru-baru ini, filem blockbuster 'Barbie" diharamkan di Vietnam kerana babak yang memaparkan peta menunjukkan Laut China Selatan -- sebuah kawasan perairan yang penting secara strategik serta dituntut oleh China dan beberapa negara jirannya, yang kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat (AS).
Warner Bros pada Jumaat mempertahankan filem itu dengan mendakwa peta itu tidak lebih daripada "lukisan krayon seperti kanak-kanak" dan jelas tiada kaitan dengan sebarang kenyataan politik.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita