Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Video tular lelaki tunggang kuda bawa bendera parti politik di M'sia bukan gerakan ekstremis

Anggaran Waktu Membaca:
BUTTERWORTH: Rakaman video tular memaparkan sekumpulan lelaki yang menunggang kuda sambil membawa bendera parti politik berserta tulisan kaligrafi berunsurkan 'kalimah syahadah', bukan gerakan ekstremis seperti didakwa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis mengesan video berdurasi 20 saat yang dimuat naik di beberapa platform media sosial berhubung kejadian berkenaan sebelum menjalankan siasatan, seperti dinukil daripada BH Online.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di Kubang Semang di daerah Seberang Perai Tengah yang mana video berkenaan dipercayai dirakam pada Sabtu lalu (19 Nov), lapor BH Online.

"Siasatan polis juga mendapati bendera yang dipegang adalah bendera parti politik dan bendera kalimah syahadah yang tiada kaitan dengan gerakan ekstremis atau pengganas.

"Oleh itu, pihak polis meminta orang ramai menghentikan serta-merta spekulasi yang tidak memberi manfaat, malah akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, pada Rabu (23 Nov).

Tegasnya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, lapor BH Online.

"Kesalahan ini juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 (S$15,191) atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Terdahulu, tular video dalam aplikasi TikTok dan Twitter yang mendakwa sekumpulan lelaki menunggang kuda bersiap sedia untuk berjihad dengan membawa bendera parti politik Malaysia dan bendera berwarna putih dipercayai kononnya mempunyai unsur Taliban.

Video propaganda berkenaan bagaimanapun dikecam warga net dengan meminta isu perkauman dan agama tidak disentuh bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan