Video pramugari SIA suap kanak-kanak cetus perbahasan hangat warga net
Gambar: michaelrutherfordonline/Instagram
Warga net hangat membahaskan mengenai sebuah rakaman video yang menunjukkan seorang pramugari syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyuap seorang kanak-kanak dalam penerbangan.
Video tersebut dimuat naik oleh pencipta kandungan Michael Rutherford pada Selasa lalu (5 Dis) di Instagram dalam apa yang dianggapnya sebagai interaksi yang menyentuh hati antara anaknya dan seorang pramugari.
Video yang tular itu menunjukkan pramugari tersebut membongkok di sisi tempat duduk kanak-kanak itu, sambil mencedok makanan sebelum menyuapnya. Manakala, kanak-kanak berusia lima tahun itu kelihatan sibuk dengan iPadnya, dengan matanya yang melekat pada skrin itu.
Encik Rutherford berkata bahawa beliau berada dalam penerbangan kelas bisnes dari Los Angeles ke Tokyo apabila detik "mengagumkan" itu berlaku.
Memuji pramugari itu atas kesungguhannya untuk melakukan lebih daripada tugas utamanya, Encik Rutherford menganggap khidmat baik pramugari tersebut menjadikan penerbangan itu "bahkan lebih sempurna".
"Saya menoleh ke belakang saya dan anak lelaki saya yang berusia 5 tahun sedang disuap ayamnya oleh pramugari," kata lelaki itu, yang turut memuat naik video itu di sebuah kumpulan Facebook berkaitan penerbangan.
"Seluruh anak kapal (penerbangan tersebut) sangat luar biasa dan perhatian yang diberikan kepada setiap penumpang sukar dibayangkan."
Setakat Isnin, video tersebut sudahpun menarik 18.2 juta tontonan di akaun Instagram Encik Rutherford, dan meraih sekurang-kurangnya 430,000 tanda suka dan lebih 8,200 komen.
Warga net bagaimanapun berbeza berpendapat mengenai interaksi yang dipaparkan itu.
Meskipun ada yang berpendapat bahawa ia adalah perbuatan yang baik oleh pramugari itu untuk "membiarkan ibu bapa tidur" dan memujinya atas perbuatan itu, yang lain merasakan bahawa budak itu tidak menerima bimbingan yang baik daripada ibu bapa mengenai tingkah lakunya dan bahkan, menunjukkan tingkah laku seolah-olah dia mempunyai hak istimewa, sedangkan dia menambah kepada beban kerja pramugari yang sudah sibuk.
Dalam menjawab pertanyaan media, Singapore Airlines menyatakan anak kapal SIA menjalani latihan untuk menjangkakan dan memahami keperluan kumpulan pelanggan yang berbeza, termasuk kanak-kanak, warga emas dan mereka kurang keupayaan untuk bergerak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.