Skip to main content

Dunia

Varian Omicron BA.5 dijangka punca kenaikan kes COVID-19 di M'sia

Kes Omicron jujukan varian BA.5 sudah berada di Malaysia dan berkemungkinan menular luas, sekali gus menyebabkan kenaikan kes COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kes Omicron jujukan varian BA.5 sudah berada di Malaysia dan berkemungkinan menular luas, sekali gus menyebabkan kenaikan kes COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sehingga 30 Jun lalu, 13 kes jujukan varian Omicron dipantau rapi, iaitu enam kes BA.2.12.1; lima kes BA.5; serta dua kes BA.5.2, dan semua kes ini didapati positif antara bulan Mei dan Jun lalu.

"Tiada kes 'sublineage' Omicron BA.4 yang direkodkan setakat ini. Kalau lihat dari segi epidemiologi di negara-negara lain, BA.5 adalah 'sublineage' utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes di peringkat global dan kita menjangkakan BA.5 akan terus meningkatkan lagi jumlah kes harian di Malaysia. 

"Omicron BA.5 adalah versi virus COVID-19 yang paling mudah merebak setakat ini (berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2) tetapi ia juga mempunyai ciri untuk menjangkiti mereka yang sudah dijangkiti dengan Omicron BA.1 dan BA.2," katanya dalam sidang media hari ini (8 Jul).

Beliau berkata situasi ini juga mengakibatkan kenaikan jumlah kemasukan ke hospital di negara-negara seperti Singapura, Portugal, Britain dan lain-lain.

Encik Khairy bagaimanapun berkata maklumat dari Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan individu yang sudah melengkapkan vaksinasi dos 'primer' dan menerima dua dos penggalak, terutamanya dalam kumpulan umur 60 dan ke atas, mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak.

Mengenai jangkaan tempoh puncak Omicron BA.5, beliau berkata KKM menjangkakan kes akan meningkat dalam tempoh satu atau dua bulan atau maksimum tiga bulan berdasarkan pengalaman menghadapi gelombang varian Omicron sebelum ini.

Ditanya mengenai sejauh mana teruknya varian Omicron jujukan varian BA.5 dan BA.4 berbanding BA.1 dan BA.2, Encik Khairy berkata buat masa ini, KKM tidak melihat sebarang perubahan keterukan kes bagi jujukan varian BA.5 dan BA.4.

"Saya dimaklumkan oleh pakar penyakit berjangkit, kemungkinan besar keterukan kes BA.5 ini tidak lebih teruk daripada gelombang Omicron yang asal. Kita jangka keterukannya lebih kurang sama dengan varian Omicron yang awal,” katanya.

Beliau berkata jumlah harian baru yang dilaporkan bagi lima hari pertama Minggu Epid ke-27 (3 hingga 7 Julai) mencatatkan kenaikan sebanyak 31 peratus iaitu 11,394 kes kepada 14,967 kes berbanding jumlah kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama pada Minggu Epid ke-26 (26 Jun hingga 30 Jun) lalu.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita