Varian Delta COVID-19 dominan, saintis waspada muncul cabang baru
Meski vaksin masih beri perlindungan daripada sakit teruk atau kematian akibat Delta, para saintis bimbang varian itu bermutasi lagi dan muncul subvarian baru pada masa hadapan.
(Gambar hiasan: Martin Sanchez/Unsplash)
CHICAGO: Varian Delta virus Sars-CoV-2 kini membentuk hampir kesemua jangkitan koronavirus di merata dunia, disebabkan oleh penularan COVID-19 yang tidak terkawal di beberapa bahagian dunia. Setakat ini, vaksin masih dapat memberi perlindungan terhadap penyakit serius dan kematian akibat Delta, namun para saintis masih berwaspada.
Ini yang diketahui setakat ini:
DELTA - MASIH DOMINAN
Varian Delta, yang pertama kali dikesan di India pada Disember 2020, kekal sebagai versi virus Sars-CoV-2 yang paling membimbangkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan Delta sebagai varian yang membimbangkan (VOC), kategori yang bermaksud varian itu mampu meningkatkan kebolehjangkitan, menyebabkan penyakit yang lebih teruk atau mengurangkan keberkesanan vaksin dan rawatan.
Ciri utama varian Delta yang membimbangkanadalah ia lebih mudah berjangkit, menurut Dr Shane Crotty, pakar virologi di Institut Imunologi La Jolla di San Diego.
Berbanding varian-varian Sars-CoV-2 sebelum ini, Delta lebih dua kali ganda mudah berjangkit, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat. Menurut kajian, varian itu lebih berkemungkinan menyebabkan individu yang dijangkiti perlu dimasukkan ke hospital, berbanding varian virus itu sebelum ini.
Delta juga boleh menyebabkan timbulnya gejala dua hingga tiga hari lebih cepat berbanding koronavirus asal, memberi sistem imun tubuh masa lebih singkat untuk bertindak balas.
Mereka yang dijangkiti Delta membawa kira-kira 1,200 kali lebih banyak virus dalam hidung mereka berbanding versi asal koronavirus. Jumlah virus dalam tubuh individu yang divaksinasi yang dijangkiti Delta adalah sama dengan mereka yang tidak divaksinasi, dan kedua-duanya boleh merebakkan virus kepada orang lain.
Bagaimanapun perbezaannya adalah pada orang yang sudah divaksin, jumlah virus dalam badan berkurangan dengan lebih pantas, jadi mereka mungkin hanya sekejap sahaja menyebarkan virus itu.
Menurut WHO, Delta membentuk 99.5 peratus penjujukan genom yang dilaporkan kepada pangkalan data awam dan telah "mengatasi" varian lain di kebanyakan negara.
Hanya di Selatan Amerika, di mana Delta merebak dengan lebih perlahan, dan varian lain yang sebelumnya dilihat sebagai mungkin membawa ancaman global - iaitu Gamma, Lambda dan Mu — masih membentuk sebahagian besar kes dilaporkan.
VARIAN BARU DELTA
Memandangkan Delta kini varian utama di dunia, ramai pakar vaksin kini yakin bahawa semua varian masa depan akan bercabang dari Delta.
Salah satunya dikenali sebagai AY.4.2 dan tertumpu sebahagian besarnya di United Kingdom (UK), di mana ia membentuk sekitar 10 peratus daripada sampel virus yang dijujukan.
AY.4.2 membawa dua mutasi tambahan dalam protein spike, yang digunakan oleh virus untuk memasuki sel. Para saintis masih mengkaji kesan mutasi ini, jika ada.
Agensi Keselamatan Kesihatan UK telah menetapkan AY.4.2 sebagai "Varian Sedang Dalam Siasatan." Analisis awal menunjukkan ia tidak menjejaskan keberkesanan vaksin dengan ketara berbanding Delta, tetapi terdapat beberapa bukti bahawa ia mungkin lebih mudah berjangkit, menurut agensi itu.
Menurut WHO, AY.4.2 sudah merebak ke sekurang-kurangnya 42 negara, termasuk Amerika Syarikat.
LEBIH BANYAK CABANG DELTA DIJANGKAKAN?
Pakar virus sedang memerhati dengan teliti evolusi Delta, mencari sebarang tanda yang menunjukkan bahawa ia telah bermutasi yang akan membolehkan varian yang sangat mudah berjangkit menembusi perlindungan imun yang ditawarkan vaksin atau jangkitan semula jadi.
Pun begitu, meskipun vaksin sedia ada mencegah penyakit teruk dan kematian, ia tidak menghalang jangkitan. Virus ini masih mampu bertambah jumlahnya di dalam hidung, meskipun dalam kalangan mereka yang sudah divaksin, yang kemudiannya boleh menyebarkan penyakit itu melalui titisan kecil yang terapung di udara.
Usaha mengatasi Sars-CoV-2 mungkin memerlukan generasi baru vaksin yang juga menyekat penularan, menurut Dr Gregory Poland, pembangun vaksin di Mayo Clinic. Namun sementara itu, Dr Poland dan para pakar lain berkata, dunia masih terdedah kepada bahaya virus COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.