Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Varian baru COVID-19 dikesan di Afrika Selatan: Apa yang diketahui setakat ini

Apakah virus COVID-19 varian B.1.1.529? Mengapa ia cetus kebimbangan, dan di mana lagi ia dikesan? Ini yang diketahui setakat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Varian baru COVID-19 dikesan di Afrika Selatan: Apa yang diketahui setakat ini

Seorang pesakit COVID-19 di sebuah kemudahan tidak meraih untung di Johannesburg, Afrika Selatan pada 12 Jul 2021. (Gambar: Emmanuel Croset/AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 10:59PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:31PM

JOHANNESBURG/LONDON: Varian baru koronavirus yang dikesan di Afrika Selatan mencetuskan pelbagai reaksi di seantero dunia dengan Kesatuan Eropah (EU), Britain dan India antara negara yang mengumumkan kawalan sempadan lebih ketat sedang para saintis cuba menentukan sama ada mutasi itu kebal vaksin.

DI MANA, BILA VARIAN BARU DIKENAL PASTI?

Pasukan saintis di Afrika Selatan mengesan sejumlah kecil varian itu - dipanggil B.1.1.529 - pada Selasa (23 Nov), dalam sampel dari 14 hingga 16 Nov.

Pada Rabu, saintis Afrika Selatan melakukan jujukan ke atas lebih banyak genom, memaklumkan pemerintah bahawa mereka bimbang dan meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghimpunkan kumpulan kerja teknikalnya mengenai evolusi virus pada Jumaat.

Negara itu sudah mengenal pasti sekitar 100 kes varian itu, kebanyakannya di Gauteng, wilayah negara itu yang padat penduduk.

DI MANA LAGI IA DIKESAN?

Saintis Afrika Selatan berkata tanda-tanda awal dari makmal diagnostik menunjukkan varian itu sudah merebak dengan pantas di Gauteng dan mungkin sudah berada di lapan wilayah lain di negara itu.

Kadar jangkitan harian negara naik hampir seganda pada Khamis kepada 2,465. Institut Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NICD) Afrika Selatan tidak mengaitkan lonjakan kes itu dengan varian baru, namun saintis tempatan mengesyaki ia adalah puncanya.

Botswana mengesan empat kes, kesemuanya warga asing yang tiba dalam misi diplomatik dan telah meninggalkan negara itu.

Hong Kong mencatat satu kes, iaitu pelawat dari Afrika Selatan. Israel juga catat satu kes melibatkan seorang individu yang pulang dari Malawi.

Varian ini agak mudah untuk dibezakan dalam ujian PCR berbanding Delta, iaitu varian COVID-19 yang dominan dan paling menular setakat ini. Tidak seperti Delta, B.1.1.529 mempunyai mutasi yang dikenali sebagai keciciran gen S.

MENGAPA IA BIMBANGKAN SAINTIS?

Semua virus - termasuk SARS-CoV-2, yang menyebabkan COVID-19 - berubah dari semasa ke semasa. Kebanyakan perubahan mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas sifat virus.

Bagaimanapun, beberapa perubahan boleh menjejaskan kebolehjangkitannya, betapa teruk penyakit itu atau keberkesanan vaksin terhadapnya.

Varian ini menarik perhatian kerana ia mempunyai lebih daripada 30 mutasi protein spike yang digunakan oleh virus untuk masuk ke dalam sel manusia, kata pegawai kesihatan United Kingdom.

Jumlah itu sekitar seganda bilangan mutasi protein spike pada Delta, dan menjadikan varian ini jauh berbeza daripada koronavirus asal. Vaksin COVID-19 sedia ada direka untuk bertindak balas terhadap koronavirus yang asal.

Menurut saintis Afrika Selatan beberapa mutasi dikaitkan dengan kekebalan terhadap antibodi peneutralan dan meningkatkan penularan, tetapi ciri yang lain belum lagi difahami dengan jelas. Maka itu, kesan sepenuhnya masih belum jelas.

Ketua Penasihat Perubatan Agensi Keselamatan Kesihatan UK Dr Susan Hopkins memberitahu radio BBC beberapa mutasi belum pernah dilihat sebelum ini, jadi tidak diketahui bagaimana ia akan berinteraksi dengan yang lain, menjadikannya varian paling rumit dilihat setakat ini.

Justeru, lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk mengesahkan sama ada ia lebih mudah menular, berjangkit atau boleh mengelak vaksin.

Usaha itu akan mengambil masa beberapa minggu, kata ketua teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi COVID-19, Maria van Kerkhove, pada Khamis. Sementara itu, vaksin terus kekal sebagai alat penting untuk membendung virus itu.

Tiada simptom luar biasa dilaporkan ekoran jangkitan varian B.1.1.529 dan, seperti varian-varian lain, sesetengah individu tidak menunjukkan gejala, kata NICD Afrika Selatan.

APA KATA WHO SETAKAT INI?

Agensi PBB itu akan memutuskan sama ada varian itu perlu ditetapkan sebagai varian yang perlu diberi perhatian atau varian membimbangkan. Varian membimbangkan akan digunakan jika terdapat bukti bahawa B.1.1.529 lebih mudah berjangkit dan vaksin kurang berkesan terhadapnya, dan ia akan diberi nama Yunani.

WHO setakat ini telah mengenal pasti empat varian "membimbangkan" - Alpha, Beta, Gamma dan Delta.

Dua varian perlu diberi perhatian ialah Lambda, yang dikenal pasti di Peru pada Disember 2020 dan Mu, di Colombia pada Januari.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan