Varian baharu COVID-19, XFG dikesan di Malaysia
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan penularan varian baharu COVID-19 iaitu XFG daripada 43,087 kes yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-35 (ME 35/2025).
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkifly Ahmad. (Gambar: Bernama)
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkifly Ahmad menerusi catatan di platform X memaklumkan 8.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan pada ME35 adalah varian XFG.
Beliau berkata menerusi pengesanan genomik mendapati varian NB1.8.1 kekal dominan dengan merekodkan 39.4 peratus, diikuti JN.1 (18.1 peratus) dan XEC (13.3 peratus), manakala varian lain merangkumi 21 peratus.
“Secara kumulatif, sehingga ME35/2025, sebanyak 43,087 kes telah dilaporkan berbanding 85,297 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024 (penurunan sebanyak 49.5 peratus),” katanya.
Dr Dzulkifly berkata kes mingguan ME35 pula menunjukkan penurunan sebanyak 12.8 peratus iaitu 594 berbanding 681 kes pada ME34.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu kematian baharu dilaporkan pada ME35 melibatkan warga emas terlantar berusia 91 tahun.
“Secara kumulatif kematian COVID-19 sehingga kini adalah 3 (dilaporkan pada ME 24/2025, ME 30/2025 dan ME 35/2025,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan asas terutama mencuci tangan dengan kerap, memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di tempat sesak serta mendapatkan vaksinasi sekiranya berisiko.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.