Vape, shisha dengan kandungan nikotin akan termasuk dalam peraturan larangan merokok
Rokok elektronik atau vape dan shisha yang mengandungi nikotin akan dimasukkan dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada tahun depan, kata Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad.

(Gambar: Reuters)
KUALA LUMPUR: Rokok elektronik atau vape dan shisha yang mengandungi nikotin akan dimasukkan dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada tahun depan, kata Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, larangan merokok di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 melibatkan rokok dan semua hasil tembakau yang mempunyai nikotin, termasuk shisha dan vape.
“Peraturan itu jelas jika mempunyai nikotin akan tertakluk (pada larangan tersebut), dengan kata lain apabila kita buat penguatkuasaan, kita akan lihat sama ada vape atau shisha itu mempunyai kandungan nikotin atau tidak.
"Jika kita dapati tiada nikotin, ia tidak termasuk dalam larangan itu nanti,” kata Dr Dzulkefly kepada agensi berita Bernama.
Mulai 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok akan dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.
Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 (S$3,290) atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai kemampuan kementeriannya untuk melaksanakan larangan tersebut, Dr Dzulkefly berkata ia mempunyai anggota yang mencukupi bagi melaksanakannya.
“Kita ada keupayaan, aktiviti penguatkuasaan ini akan dijalankan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dengan kekuatan 208 anggota dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran seramai 4,800 anggota di seluruh negara,” katanya.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly dipetik sebagai berkata bahawa rokok elektronik dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari depan.
Beliau bagaimanapun juga dipetik sebagai berkata bahawa kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan vape dan shisha dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.