Skip to main content

Dunia

Vape akan diwartakan sebagai haram di Melaka

Kerajaan Melaka akan mewartakan pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Anggaran Waktu Membaca:
Vape akan diwartakan sebagai haram di Melaka

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Jul 2025 07:22AM Dikemas Kini : 24 Jul 2025 07:23AM
AYER KEROH: Kerajaan Melaka akan mewartakan pengharaman penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu dalam tempoh terdekat.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata ia menyusuli keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 10 Disember 2015 memutuskan penggunaan rokok berkenaan adalah haram, lapor BH Online.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat dalam kalangan penghisap bahan berkenaan.

"Kita mendapati ramai dalam kalangan pengguna menyalahgunakan vape dengan mencampurkan beberapa bahan terlarang yang mengkhayalkan.

"Justeru, kita bersedia untuk membentangkan dalam mesyuarat EXCO akan datang untuk membolehkan pengharaman itu diwartakan segera," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri pada Rabu (23 Jul).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi melaksanakan larangan terhadap pengilangan dan penjualan produk rokok elektrik atau vape di negeri itu.

EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tahun ini bagi mendapatkan pertimbangan lanjut.

Katanya lagi, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan sama ada menyokong atau menolak cadangan larangan tersebut kerana ia masih di peringkat awal.

"Buat masa ini, belum ada pendirian daripada kerajaan negeri sama ada menyokong atau menolak larangan penjualan vape di Melaka kerana ia masih lagi di peringkat cadangan dan akan dibawa ke MMKN terlebih dahulu," katanya lagi.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita