Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Vaksinasi COVID-19 tidak kurangkan peluang hamil - kajian

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksinasi COVID-19 tidak kurangkan peluang hamil - kajian

Vaksin Comirnaty buatan Pfizer/BioNTech. (Gambar fail: AFP)

WASHINGTON: Vaksin COVID-19 tidak menjejas peluang menimang cahaya mata,  menurut satu kajian baru yang dibiayai Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat (AS). 

Dalam kajian yang melibatkan lebih 2,000 pasangan itu, para penyelidik mendapati tidak ada perbezaan dalam peluang untuk hamil jika pasangan lelaki atau wanita sudah divaksin, berbanding dengan pasangan yang masih belum divaksin. 

Demikian menurut dapatan yang dikeluarkan pada Khamis (20 Jan), seperti dilaporkan Xinhua. 

Namun, seorang wanita lebih sukar hamil jika pasangan lelaki mereka dijangkiti SARS-CoV-2 dalam tempoh 60 hari sebelum kitaran haid mereka.

Ini membayangkan bahawa COVID-10 boleh mengurangkan kesuburan lelaki buat seketika, menurut kajian yang diterbitkan di Jurnal Epidemiologi Amerika. 

Kajian itu melibatkan 2,126 wanita yang menetap di AS ataupun Kanada pada Disember 2020 hingga September 2021 dan mengikuti mereka sehingga akhir November 2021. 

Peserta perlu menjawab satu senarai soalan setiap lapan minggu tentang demografi sosial, gaya hidup, faktor-faktor perubatan dan maklumat tentang pasangan mereka. 

Para penyelidik mendapati tidak ada perbezaan yang ketara berhubung kadar kehamilan bagi setiap kitaran haid antara pasangan yang belum divaksin dan sudah divaksin, di mana salah satu daripada pasangan itu sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

"Dapatan ini memberi jaminan bahawa vaksinasi untuk pasangan yang ingin menimang cahaya mata tidak menjejas kesuburan," kata Cik Diana Bianchi, Pengarah Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia NIH Eunice Kennedy, yang membiayai kajian tersebut. 

"Hasil kajian itu juga menyediakan maklumat kepada pakar perubatan untuk berbincang dengan pesakit mereka yang ingin mendapatkan anak," kata Cik Bianchi lagi. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan