Vaksin Pfizer mungkin tidak dapat cegah varian Afrika Selatan
Varian COVID-19 yang dikesan di Afrika Selatan mungkin tidak dapat dicegah melalui perlindungan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, menurut kajian yang dijalankan oleh Israel. Bagaimanapun kajian itu melibatkan saiz sampel yang kecil dan belum lagi disemak oleh mana-mana pihak lain.
Seorang remaja terima suntikan vaksin COVID-19 di Tel Aviv, Israel pada 24 Jan 2021 (Gambar: REUTERS/Ronen Zvulun)
BAITULMAKDIS: Varian COVID-19 yang dikesan di Afrika Selatan mungkin tidak dapat dicegah melalui perlindungan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, menurut kajian yang dijalankan oleh Israel, meskipun kadar kes varian itu di Israel sangat rendah dan kajian yang dijalankan oleh Israel itu belum lagi disemak oleh mana-mana pihak lagi.
Hasil kajian yang dikeluarkan pada Sabtu (10 April), membandingkan hampir 400 orang yang positif COVID-19, 14 hari atau lebih setelah mereka menerima satu atau dua dos vaksin, berbanding jumlah pesakit yang tidak divaksin.
Varian Afrika Selatan, B1351, didapati membentuk sekitar 1 peratus daripada semua kes COVID-19 dalam kalangan semua peserta yang dikaji, menurut kajian oleh Universiti Tel Aviv dan penyedia khidmat jagaan kesihatan terbesar di Israel, Clalit.
Namun antara pesakit yang sudah menerima dua dos vaksin, kadar jangkitan varian itu adalah lapan kali lebih tinggi berbanding yang tidak divaksin - 5.4 peratus berbanding 0.7 peratus.
Ini menunjukkan bahawa vaksin itu kurang berkesan terhadap varian Afrika Selatan, berbanding dengan koronavirus asli dan varian yang pertama kali dikenal pasti di Britain yang membentuk hampir semua kes COVID-19 di Israel, menurut para pengkaji.
"Kami mendapati kadar jangkitan varian Afrika Selatan yang jauh lebih tinggi dalam kalangan individu yang diberi dos kedua, berbanding dengan kumpulan yang tidak divaksin. Ini bermakna varian Afrika Selatan berupaya, sampai ke tahap tertentu, menerobos perlindungan vaksin," kata Profesor Universiti Tel Aviv, Adi Stern.
Para penyelidik menekankan bahawa kajian itu hanya melibatkan sampel kecil orang yang dijangkiti varian Afrika Selatan kerana ia jarang dikesan di Israel.
Mereka juga berkata bahawa penyelidikan itu tidak bertujuan untuk membuat sebarang kesimpulan tentang keberkesanan vaksin secara keseluruhan terhadap mana-mana varian kerana ia mengkaji orang-orang yang sudah disahkan positif COVID-19, bukan pada tahap jangkitan keseluruhan.
Pfizer bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kajian oleh Israel itu.
Pfizer dan BioNTech menyatakan pada 1 April bahawa vaksin mereka sekitar 91 peratus berkesan dalam mencegah COVID-19, dengan menukil data kajian yang dikemas kini yang merangkumi peserta yang divaksin bagi tempoh sehingga enam bulan.
Kedua-dua syarikat sedang menguji suntikan dos ketiga sebagai perlindungan tambahan dan menyatakan pihaknya dapat menyesuaikan suntikan untuk secara khusus menangani varian baru jika perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.