Skip to main content

Dunia

Vaksin Pfizer bivalen COVID-19 'kurang kemungkinan' tingkatkan risiko strok bagi warga emas

Para pegawai kesihatan persekutuan Amerika Syarikat berkata suntikan vaksin Pfizer bivalen COVID-19  "kurang kemungkinan"  menyebabkan meningkatnya risiko menghidap angin ahmar bagi individu berusia 65 tahun dan ke atas, selepas ia melancarkan satu siasatan terhadap keprihatinan keselamatan awal yang dikesan oleh salah satu daripada sistem pemantauannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin Pfizer bivalen COVID-19 'kurang kemungkinan' tingkatkan risiko strok bagi warga emas

Vaksin Comirnaty buatan Pfizer/BioNTech. (Gambar fail: AFP)

ATLANTA: Para pegawai kesihatan persekutuan Amerika Syarikat berkata suntikan vaksin Pfizer bivalen COVID-19  "kurang kemungkinan"  menyebabkan meningkatnya risiko menghidap angin ahmar bagi individu berusia 65 tahun dan ke atas, selepas ia melancarkan satu siasatan terhadap keprihatinan keselamatan awal yang dikesan oleh salah satu daripada sistem pemantauannya.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menyatakan dalam satu kenyataan pada Jumaat (13 Jan) bahawa tiada sistem pemantauan yang lain mengesan keprihatinan keselamatan yang serupa sejauh ini.

"Kajian besar-besaran terhadap vaksin (bivalen) terbaru (daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna) menggunakan pangkalan data Pusat bagi Medicare dan Medicaid Services menunjukkan tiada peningkatan risiko menghidap strok iskemik," menurut CDC.

Ia juga menarik perhatian bahawa negara-negara lain juga tidak menyaksikan sebarang peningkatan risiko strok iskemik disebabkan oleh vaksin bivalen terbaru itu, sambil menambah bahawa hal itu perlu siasatan lanjut.

Menurut The Washington Post, isu itu pertama kali dikesan pada lewat November.

Pautan data keselamatan vaksin CDC (VSD), iaitu sistem pemantauan mengikut waktu sebenar, mendedahkan satu kemungkinan isu keselamatan yang mana individu berusia 65 dan ke atas lebih kemungkinan menghidap strok iskemik, 21 hari selepas menerima suntikan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech, berbanding dengan hari ke 22 hingga 44.

Strok iskemia yang juga dikenali sebagai iskemia otak berlaku apabila saluran arteri yang membekalkan darah ke otak, tersumbat.

"Terdapat juga faktor-faktor lain yang menyumbang kepada isyarat yang dikenal pasti dalam VSD yang memerlukan siasatan lanjut.

"Tambahan pula,  penting untuk menarik perhatian bahawa setakat ini, tiada sistem keselamatan lain yang menunjukkan isyarat serupa dan beberapa analisis seterusnya belum lagi mengesahkan isyarat ini," menurut CDC.

Menurut kenyataan Pfizer dan BioNTech pihaknya maklum mengenai beberapa laporan tentang kes strok iskemik dalam kalangan individu berusia 65 dan ke atas selepas mereka mengambil suntikan vaksin terkini itu.

"Pfizer dan BioNTech mahupun CDC atau FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan) tidak menemukan dapatan serupa daripada beberapa sistem pemantauan yang lain di Amerika Syarikat dan di merata dunia dan tiada bukti untuk membuat  kesimpulan bahawa strok iskemik dikaitkan dengan penggunaan vaksin COVID-19 keluaran syarikat-syarikat ini," menurut kedua-dua syarikat tersebut.

Keprihatinan  keselamatan melibatkan suntikan vaksin bivalen Moderna belum lagi dikenal pasti. 

Kedua-dua CDC dan FDA tetap menyarankan agar setiap orang berusia enam bulan ke atas mendapatkan vaksinasi COVID-19 yang terkini. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita