Vaksin Omicron siap bulan Mac - Pfizer
Vaksin Comirnaty buatan Pfizer/BioNTech. (Gambar fail: AFP)
NEW YORK: Pfizer menjangkakan vaksin COVID-19 yang berupaya memberi perlindungan terhadap varian Omicron akan siap pada Mac, kata ketua syarikat tersebut pada Isnin (10 Jan).
Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla memberitahu CNBC bahawa Pfizer sudah mula menghasilkan dos vaksin itu berikutan minat yang mendalam daripada pemerintah, sedang pihak berkuasa bergelut dengan jumlah kes jangkitan COVID-19 yang meningkat. Ini termasuk lonjakan besar jangkitan Omicron dalam kalangan penduduk yang sudah divaksin.
"Vaksin ini akan siap pada Mac," kata Bourla kepada rangkaian berita tersebut. "Saya tidak pasti jika kita perlukan vaksin berkenaan. Saya juga tidak tahu jika dan bagaimana ia akan digunakan."
Bourla berkata regim dua dos vaksin dan dos penggalak yang sedia ada sudah pun memberikan perlindungan yang "agak baik" terhadap kesan kesihatan yang serius disebabkan Omicron.
Namun, vaksin khas yang menyasarkan varian Omicron juga akan mencegah jangkitan terhadap varian yang terbukti lebih mudah berjangkit dalam kalangan penduduk yang sudah divaksin.
Dalam satu temu ramah berasingan dengan CNBC pada Isnin (10 Jan), CEO Moderna Stephane Bancel berkata syarikat tersebut sedang membangunkan dos penggalak yang boleh menangani Omicron dan varian-varian baru lainnya menjelang musim luruh 2022
"Kami sedang berbincang dengan pemimpin kesihatan awam di merata dunia untuk melakarkan strategi yang kami rasakan terbaik bagi satu dos penggalak untuk musim luruh 2022," kata Bancel kepada CNBC.
"Kita harus berhati-hati dan cuba berada satu langkah di hadapan virus ini dan bukan di belakang virus."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.