Vaksin COVID-19 keluaran Pfizer, BioNTech selamat untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun
Pfizer dan BioNTech menyatakan pada Isnin (20 Sep) bahawa vaksin keluaran kedua-dua syarikat itu berupaya mencetuskan tindak balas imun yang kuat dalam tubuh kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
Vaksin Pfizer-BioNTech. (Gambar: Jeremy Long)
REUTERS: Pfizer dan BioNTech menyatakan pada Isnin (20 Sep) bahawa vaksin keluaran kedua-dua syarikat itu berupaya mencetuskan tindak balas imun yang kuat dalam tubuh kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dan kedua-dua syarikat tersebut merancang untuk meminta kelulusan bagi menggunakan vaksin masing-masing pada kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut di Amerika Syarikat, Eropah dan tempat-tempat lain secepat mungkin.
Syarikat-syarikat itu menyatakan bahawa vaksin mereka mencetuskan tindak balas imun dalam kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dalam ujian klinikal Fasa II/III, setara dengan apa yang diperhatikan pada golongan 16 hingga 25 tahun. Profil keselamatan secara amnya setanding dengan kumpulan usia yang lebih tua, menurut kedua-dua syarikat itu.
"Sejak Julai, kes-kes pediatrik COVID-19 telah melonjak hampir 240 peratus di Amerika Syarikat- menekankan betapa pentingnya untuk orang ramai divaksin," menurut ketua eksekutif Pfizer Albert Bourla dalam satu kenyataan media.
Para pegawai kanan kesihatan Amerika Syarikat percaya pihak pengawal selia mungkin akan membuat keputusan sama ada vaksin-vaksin itu selamat dan berkesan pada kanak-kanak yang lebih muda dalam tempoh tiga minggu setelah syarikat-syarikat itu mengemukakan permintaan untuk meluluskan vaksin mereka, menurut dua sumber yang memberitahu Reuters pada awal bulan ini.
Kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 melonjak di Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, disebabkan oleh penularan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.
Kes-kes dalam kalangan kanak-kanak turut meningkat, terutamanya memandangkan kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak divaksin. Tetapi tidak ada petunjuk varian Delta lebih berbahaya pada anak-anak.
Pfizer dan BioNTech menjangkakan data mengenai keberkesanan vaksin dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara dua hingga lima tahun dan antara enam bulan hingga dua tahun akan dikeluarkan seawal suku keempat tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.