Skip to main content

Dunia

Vaksin bagi setiap penduduk 'tidak akan berlaku', kata ketua pasukan bertindak COVID-19 UK

Pengerusi pasukan bertindak vaksin Britain, Kate Bingham berkata pemberian vaksin COVID-19 kepada setiap orang dalam negara itu 'tidak akan berlaku', sambil memberitahu akhbar Financial Times bahawa mereka hanya perlu memberi vaksin kepada golongan yang berisiko.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin bagi setiap penduduk 'tidak akan berlaku', kata ketua pasukan bertindak COVID-19 UK

Pekerja kesihatan di UK memakai pelitup dan pelindung wajah di tengah COVID-19 (Gambar: Hannah McKay/AFP)

Diterbitkan : 05 Oct 2020 08:29AM Dikemas Kini : 05 Oct 2020 08:31AM

LONDON: Pengerusi pasukan bertindak vaksin Britain, Kate Bingham berkata pemberian vaksin COVID-19 kepada setiap orang dalam negara itu 'tidak akan berlaku', sambil memberitahu akhbar Financial Times bahawa mereka hanya perlu memberi vaksin kepada golongan yang berisiko.

"Tiada vaksin akan diberikan kepada golongan di bawah usia 18 tahun. Ia adalah vaksin untuk golongan dewasa sahaja, bagi mereka berusia 50 tahun ke atas, tertumpu kepada para kakitangan kesihatan dan pekerja di rumah-rumah jagaan serta golongan berisiko," kata Cik Bingham dalam wawancara dengan akhbar itu.

Cik Bingham memberi komen tersebut selepas Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengatakan pada Ahad (4 Okt) bahawa beliau menjangkakan keadaan pandemik COVID-19 dalam beberapa bulan tidak menentu, tetapi ia akan berubah menjelang musim bunga.

"Orang ramai sering katakan sudah tiba masanya untuk memberi vaksin kepada seluruh penduduk, namun itu salah tanggapan," katanya kepada FT, sambil menambah bahawa memberi vaksin kepada mereka yang sihat, yang kurang berkemungkinan mengalami kesan serius akibat COVID-19,
"boleh menyebabkan kesan buruk yang tidak dijangka".

Britain mencatat angka korban tertinggi akibat COVID-19 di Eropah dengan jumlah kematian terkini mencecah 42,300.

The Times, menukil para saintis kerajaan, melaporkan pada minggu lalu bahawa pengedaran vaksin COVID-19 secara besar-besaran di Britain mungkin selesai secepat tiga bulan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa kesihatan menganggarkan bahawa setiap orang dewasa boleh mendapatkan dos vaksin dalam masa enam bulan.

Cik Bingham berkata kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada sekitar 30 juta orang, berbanding penduduk UK berjumlah sekitar 67 juta, jika vaksin COVID-19 yang berkesan ditemui, menurut FT. 

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita