Skip to main content

Dunia

Utusan khas Amerika dijangka ke Mosko untuk runding gencatan senjata Ukraine

Utusan khas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Timur Tengah Steve Witkoff dijangka ke Mosko pada hujung minggu ini untuk berunding dengan pegawai Rusia mengenai cadangan gencatan senjata selama 30 hari demi menghentikan perang di Ukraine, menurut Rumah Putih pada Rabu (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Utusan khas Amerika dijangka ke Mosko untuk runding gencatan senjata Ukraine

Ukraine menerima cadangan bagi gencatan senjata selama 30 hari selepas rundingan dengan delegasi Amerika yang diketuai Setiausaha Negara Marco Rubio (dua dari kiri). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Mar 2025 12:02PM Dikemas Kini : 13 Mar 2025 12:03PM
WASHINGTON: Utusan khas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Timur Tengah Steve Witkoff dijangka ke Mosko pada hujung minggu ini untuk berunding dengan pegawai Rusia mengenai cadangan gencatan senjata selama 30 hari demi menghentikan perang di Ukraine, menurut Rumah Putih pada Rabu (12 Mac).

Jurucakap Karoline Leavitt berkata Penasihat Keselamatan Negara Mike Waltz telah menghubungi rakan sejawatannya dari Rusia pada hari yang sama, sambil menegaskan pasukan Presiden Trump ajab terus berunding dengan pihak Moscow menjelang lawatan Encik Witkoff lapor Anadolu Ajansi (AA).

Cik Leavitt tidak mendedahkan tarikh ketibaan Encik Witkoff di Mosko mahupun pemimpin Rusia yang akan ditemuinya.

Namun, beliau menggesa agar Mosko menerima cadangan gencatan senjata itu.

“Kami menggesa pihak Rusia untuk menyokong pelan ini. Ini adalah peluang paling hampir untuk mencapai kedamaian dalam konflik ini. Kami hanya tinggal selangkah lagi, dan Presiden menjangkakan Rusia akan membantu merealisasikannya,” katanya kepada wartawan.

Sebelum ini, Encik Witkoff pernah terlibat dalam perjanjian pembebasan rakyat Amerika, Marc Fogel, yang ditahan di Rusia selama lebih tiga tahun.

Ukraine menerima cadangan gencatan senjata selama 30 hari yang dikemukakan Washington pada Selasa.

Encik Trump menyifatkan cadangan tersebut sebagai “gencatan senjata sepenuhnya.” Persetujuan itu dicapai selepas rundingan antara delegasi Amerika, diketuai Setiausaha Negara Marco Rubio dan Waltz, dengan pihak Ukraine di Arab Saudi.

Kenyataan bersama selepas pertemuan itu bagaimanapun tidak menyentuh soal “jaminan keselamatan,” iaitu komitmen Amerika untuk memberi campur tangan sekiranya Rusia melanggar perjanjian tersebut.

Namun, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dalam satu ucapan pada lewat malam menegaskan perkara itu turut dibincangkan dan akan dirunding dengan lebih terperinci sekiranya perjanjian gencatan senjata dilaksanakan.

Presiden Trump pada Rabu memberi amaran akan mengenakan sekatan ekonomi yang “amat dahsyat” terhadap Rusia sekiranya Presiden Vladimir Putin menolak perjanjian terbabit.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita