Skip to main content

Dunia

Utusan Amerika Witkoff lawat operasi bantuan di Gaza yang ditolak PBB

Utusan Presiden Donald Trump ke Timur Tengah menjadi pegawai kanan Amerika Syarikat pertama yang melawat Gaza sejak perang bermula, apabila beliau melakukan lawatan ke atas satu operasi bantuan yang disokong negara itu pada Jumaat (1 Ogos), yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebahagiannya bertanggungjawab terhadap keadaan yang menyebabkan kematian di wilayah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Utusan Amerika Witkoff lawat operasi bantuan di Gaza yang ditolak PBB

Penduduk Palestin berkumpul di sebuah pusat agihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza, sebuah badan swasta, berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Carikan Gaza pada 25 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Eyad Baba)

Diterbitkan : 01 Aug 2025 10:57PM
BAITULMAKDIS: Utusan Presiden Donald Trump ke Timur Tengah menjadi pegawai kanan Amerika Syarikat pertama yang melawat Gaza sejak perang bermula, apabila beliau melakukan lawatan ke atas satu operasi bantuan yang disokong negara itu pada Jumaat (1 Ogos), yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebahagiannya bertanggungjawab terhadap keadaan yang menyebabkan kematian di wilayah itu.

Beberapa jam selepas Encik Steve Witkoff melawat satu tapak yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di Rafah, pasukan perubatan Palestin melaporkan bahawa tentera Israel menembak mati tiga warga Palestin berhampiran salah satu tapak kumpulan itu di bahagian selatan Gaza. Reuters tidak dapat mengesahkan secara serta-merta sama ada kejadian itu berlaku di lokasi yang sama.

PBB menyatakan lebih 1,000 orang sudah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di Gaza sejak GHF mula beroperasi di sana pada Mei, kebanyakannya ditembak oleh tentera Israel yang bertugas berhampiran tapak-tapak GHF.

PBB enggan bekerjasama dengan GHF, dengan menyatakan bahawa kumpulan itu mengagihkan bantuan dengan cara yang secara asasnya berbahaya dan melanggar prinsip kemanusiaan berkecuali, sekali gus memburukkan lagi krisis kebuluran di seluruh wilayah itu.

Namun GHF menegaskan tiada sesiapa yang terbunuh di lokasi pengagihan bantuannya, dan mereka melakukan tugas dengan lebih baik berbanding PBB dalam melindungi penghantaran bantuan.

Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, yang turut menyertai Encik Witkoff ke Gaza pada Jumaat, memuat naik gambar di platform X, menunjukkan penduduk Gaza yang kelaparan berdiri di sebalik kawat berduri, bersama poster GHF berlatarbelakangkan bendera besar Amerika Syarikat dengan tulisan “100,000,000 hidangan dihantarkan”.

“Presiden Trump memahami kepentingan di Gaza dan bahawa keutamaan adalah untuk memberi makan kepada orang awam, bukan Hamas,” kata jurucakap GHF, Chapin Fay, dalam satu kenyataan yang disertakan dengan gambar Encik Witkoff yang mengenakan pakaian celoreng berwarna kelabu, jaket kalis peluru dan topi besbol ‘Make America Great Again’, dengan nama Encik Trump dijahit di bahagian belakangnya.

“Kami berbesar hati memberi taklimat kepada delegasi beliau, berkongsi operasi kami dan menunjukkan kesan pemberian 100 juta hidangan kepada mereka yang paling memerlukan,” tambah Encik Fay.

Encik Witkoff melawat Gaza sehari selepas tiba di Israel bagi menggalakkan rundingan gencatan senjata baharu, sedang Israel berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung kemusnahan di Gaza dan kebuluran yang kian meruncing dalam kalangan 2.2 juta penduduk wilayah itu.

Selain daripada tiga yang ditembak berhampiran tapak GHF, pasukan perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 12 warga Palestin lain terbunuh dalam serangan udara di seluruh Carikan Gaza pada Jumaat.

Tentera Israel tidak memberikan sebarang maklum balas segera berhubung laporan kematian tersebut setakat Jumaat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita