Skip to main content

Dunia

Utara semenanjung M'sia alami hujan lebat, angin kencang

Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengalami hujan lebat berserta angin kencang dan laut bergelora berikutan bermulanya Monsun Barat Daya sejak semalam (7 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Utara semenanjung M'sia alami hujan lebat, angin kencang

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Diterbitkan : 08 May 2019 09:52AM Dikemas Kini : 08 May 2019 09:57AM

KUALA LUMPUR: Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengalami hujan lebat berserta angin kencang dan laut bergelora berikutan bermulanya Monsun Barat Daya sejak semalam (7 Mei).

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata Monsun Barat Daya akan lebih memberi kesan kepada cuaca di negeri-negeri berkenaan kerana keadaan geologinya yang agak terbuka dari segi pengaruh angin. 

"Monsun Barat Daya biasanya akan membawa angin dari sebelah barat negara kita. Bagaimanapun, ini berbeza dengan keadaan di pantai barat dan selatan tanah air yang dilindungi oleh Kepulauan Sumatera, Indonesia. Jadi kita yang berada di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor agak selamat," kata Encik Mohd Hisham.

Semalam, Jabatan Metereologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca waspada yang mana hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga Rabu (8 Mei).

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian puting beliung di Tanjung Tokong Pulau Pinang baru-baru ini, Encik Mohd Hisham berkata ia disebabkan penumpuan angin kencang dari Lautan Hindi yang bergerak bukan sahaja ke utara Semenanjung tetapi juga di Selatan Thailand.

"Angin ini semestinya akan membawa banyak kelembapan tinggi dan ini boleh membawa hujan lebat di sesetengah tempat. Selain daripada hujan lebat, kita juga menjangkakan angin agak kuat ketika ini dan akan berterusan sehingga Khamis (9 Mei) ini," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua penduduk di negeri-negeri terlibat sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan tersebut. 

"Kita lebih risaukan keadaan angin kencang berbanding dengan hujan. Kita jangkakan hujan mungkin sekejap-sekejap dan akan lebat tetapi tidak berterusan. 

“Namun, angin kencang pula lebih membahayakan dan mungkin boleh menerbangkan struktur-struktur yang tidak kukuh atau pokok-pokok tua boleh tumbang," tambah beliau.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita