Utamakan produk Malaysia, bukan Bumiputera sahaja, kata menteri M'sia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Malaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya membeli produk keluaran Bumiputera sahaja sebaliknya mendahulukan kempen membeli barangan buatan Malaysia secara keseluruhannya.

Encik Saifuddin Nasution Ismail (Gambar: BERNAMA)
BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Malaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya membeli produk keluaran Bumiputera sahaja sebaliknya mendahulukan kempen membeli barangan buatan Malaysia secara keseluruhannya.
Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kempen beli barangan buatan Malaysia itu perlu didokong oleh semua pihak dalam usaha mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni.
"Saya fikir dalam konteks negara kita yang patut kita dahulukan adalah kempen beli barangan buatan Malaysia. Jadi, fokus kita sebagai negara berbilang kaum, untuk memperolehi kehidupan yang harmoni dan memakmurkan negara, kita perlu dokongan semua sekali,” katanya semasa sidang media hari ini (7 Sep).
Sebelum itu, beliau merasmikan Rumah Ilmu Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kadun) Telok Ayer Tawar dan majlis pelepasan peserta Konvoi Merdeka.
Baru-baru ini terdapat kempen di media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan membeli produk keluaran Bumiputera.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak bersetuju dengan gerakan memboikot itu dan menyifatkan perkara itu hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.
Ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang menafikan gerakan memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera itu sebaliknya menyatakan ia adalah gerakan menyokong produk Muslim, Encik Saifuddin Nasution berkata tujuannya tetap sama walaupun gerakan itu menukar kenyataan mereka.
"Mereka ini berubah-ubah, ia bermula sebagai boikot kemudian apabila disanggah dan diberikan jawapan dan rasional kenapa tak perlu ada boikot, maka skripnya itu diubah kepada mengutamakan produk Muslim," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.