Skip to main content

Dunia

Usul tidak yakin terhadap PM Muhyiddin tidak mungkin berjaya, kata Mahathir

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin kini dipercayai sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan beliau mentadbir negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Usul tidak yakin terhadap PM Muhyiddin tidak mungkin berjaya, kata Mahathir

Mantan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad meninggalkan sebuah acara di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 28 Feb 2020. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)

Diterbitkan : 11 Mar 2020 01:08PM Dikemas Kini : 11 Mar 2020 01:12PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin kini dipercayai sudah mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi bagi membolehkan beliau mentadbir negara.

Menurut Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir Mohamad, kerajaan yang dipimpin Encik Muhyiddin dijangka mampu untuk bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Related article image
Perdana Menteri Malaysia kelapan, Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

(Perdana Menteri Malaysia kelapan, Muhyiddin Yassin. Gambar: BERNAMA)

“Boleh bertahan sampai PRU. Sekarang ini bila dia (Muhyiddin) jadi kerajaan, dia dapat bagi gula-gula kepada banyak orang. Saya dapati beberapa orang yang menjadi penyokong saya, sekarang ini dilantik menjadi menteri, maka mereka berpindah ke sebelah sana.

“Kita dahulu mempunyai kelebihan sebanyak 114 kerusi tetapi sekarang ini jumlah itu makin kurang. Jadi dalam Dewan Rakyat kita hendak bawa usul tidak percaya pun tidak mungkin berjaya. Sebabnya, dia sudah ambil orang saya menyebelahi dia.

“Memanglah bila dia tawarkan jadi menteri, susah bagi orang nak tolak. Saya tidak boleh tawarkan apa-apa pun,” kata Dr Mahathir dalam satu wawancara bersama Sinar Harian di Putrajaya pada Selasa (10 Mac).

HARAP JANGAN GUGURKAN DASAR BAIK YANG SUDAH DILAKUKAN

Berlangsung selama 80 minit, wawancara itu adalah temu bual pertama Dr Mahathir dengan pihak media selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Dalam temu bual tersebut, Dr Mahathir - yang kini sudah berusia 94 tahun - menzahirkan harapan agar Encik Muhyiddin dapat meneruskan dasar-dasar yang sudahpun dilakukan oleh dirinya sepanjang menjadi Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan.

“Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar yang baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Itu satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” pinta beliau.

KEJATUHAN PAKATAN HARAPAN

Ketika ditanya mengenai kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan disebabkan oleh konspirasi, Dr Mahathir berkata ia berpunca daripada perbuatan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Related article image
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di mahkamah pada 11 Nov 2019 (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

(Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di mahkamah pada 11 Nov 2019 Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

“Yang betul-betul berkonspirasi ialah Najib. Apabila dia kalah, maka dia dapat idea kalau dia boleh tubuh satu kerajaan Melayu Islam, maka dia akan dapat lebih sokongan orang Melayu dan dia akan menang.

“Sebab itu dia mencuba dengan begitu lama namun pendekatan beliau tidak berkesan dan akhirnya gagal. Akhirnya kami yang menang,” jelas Dr Mahathir.

Beliau menambah Encik Najib serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) masih menekankan tentang naratif Melayu Islam selain cuba mencari sokongan daripada Bersatu untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam dan DAP ‘dianggap sebagai jahat’.

“Kita kena singkirkan DAP. Jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO. Jadi tiba-tiba orang yang kalah dianggap menang, manakala orang yang menang dikatakan kalah.

“Ini sebenarnya konspirasi siapa, adakah saya? Apa sebab saya perlu melakukan konspirasi kerana saya sudah menjadi Perdana Menteri.

“Saya ingat saya jadi Perdana Menteri, bila sampai masanya saya akan letak jawatan dan itu tidak menjadi masalah,” tegas beliau.

Dr Mahathir menambah Encik Najib mahu mendapatkan kembali kuasa dengan secepat mungkin kerana tidak lama lagi keputusan perbicaraan akan diumumkan dan beliau mungkin dihukum.

“Jadi itulah konspirasi mereka, macam mana nak jadi kerajaan setelah kalah dengan meyakinkan ahli-ahli Bersatu untuk menyokongnya dan keluar daripada parti Pakatan Harapan sehingga Pakatan Harapan jatuh. Sekarang ini mereka dah menang,” ujar beliau. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita